Laman Utama

URUS Bantu Meringankan Masalah Kewangan Kepada Golongan B50 Yang Terjejas Akibat Pandemik Covid-19

gempak
Fiza Kamarudin
02/12/2021
11:20 MYT
Sponsor Banner
URUS Bantu Meringankan Masalah Kewangan Kepada Golongan B50 Yang Terjejas Akibat Pandemik Covid-19
Kesan pandemik masih dirasai sehingga kini mengakibatkan ramai lagi peminjam belum pulih seperti sediakala dan gagal meneruskan bayaran balik pinjaman mereka. Ini termasuk peminjam daripada kumpulan B50, terutamanya yang hilang pekerjaan sekaligus kehilangan punca pendapatan.
Untuk meringankan beban kumpulan peminjam ini, pihak bank telah bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menawarkan skim baharu yang dinamakan URUS (Program Pengurusan & Ketahanan Kewangan).
Apa itu URUS? URUS merupakan pakej bantuan holistik yang bukan sahaja membantu peminjam membuat bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan mereka, malah peminjam juga mendapat manfaat nasihat pengurusan kewangan yang boleh meningkatkan daya tahan kewangan mereka dalam jangka masa panjang.
Di bawah program ini, peminjam akan diberi pelan kewangan peribadi yang mengambil kira keadaan kewangan dan peminjam untuk membayar semua tanggungan kewangan anda.
Sokongan yang disediakan oleh URUS akan memberi ruang kelegaan serta peluang kepada peminjam untuk mengukuhkan kembali keadaan kewangan mereka.
Skim ini terbuka kepada pelanggan individu, berdasarkan permohonan, yang berada di bawah program bantuan bayaran balik seperti Bantuan Bayaran Balik Bersasar, PEMERKASA Plus, PEMULIH, penjadualan dan penstrukturan oleh bank masing masing dan seumpamanya, pada 30 September 2021, dan memenuhi kriteria berikut:
  • Dari segmen B50, iaitu pelanggan dengan pendapatan kasar isi rumah RM5,880 atau kurang, berdasarkan definisi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Bukti pendapatan isi rumah diperlukan bagi pelanggan yang tidak berdaftar sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
  • Mengalami salah satu daripada yang berikut; kehilangan pekerjaan; atau pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50% atau mempunyai pinjaman/pembiayaan yang tiada tunggakan sehingga 90 hari, pada hari permohonan.
Di bawah URUS, AKPK akan membantu peminjam dengan merangka pelan kewangan peribadi yang menetapkan jumlah ansuran bulanan and jadual bayaran balik pinjaman untuk tempoh sehingga 24 bulan.
Pelan kewangan tersebut merangkumi antaranya: a. Pengecualian faedah/keuntungan selama 3 bulan; b. Penangguhan bayaran ansuran bulanan; dan c. Sokongan pembangunan, pendidikan dan khidmat nasihat untuk membantu anda mengurus kewangan
Peminjam yang memenuhi kriteria boleh memohon untuk menyertai URUS melalui salah satu daripada bank-bank mereka di mana mereka mempunyai pinjaman yang berada di bawah program bantuan bayaran balik bermula daripada 15 November 2021 sehingga 31 Januari 2022.
Pemohon dinasihatkan agar menyenaraikan semua pinjaman dengan bank-bank mereka semasa permohonan bagi memudahkan AKPK menyediakan pelan bantuan bayaran balik yang bersesuaian berdasarkan kemampuan peminjam.
Anda hanya perlu mengemukakan dokumen mudah yang menunjukkan pendapatan semasa atau status pekerjaan anda, contohnya penyata bank, borang cukai pendapatan, penyata KWSP, slip gaji/baucar bayaran, ataupun surat pemberhentian kerja.
Apakah pinjaman/pembiayaan yang layak di bawah URUS? ● Pinjaman/pembiayaan perumahan ● Pinjaman/pembiayaan peribadi (termasuk pinjaman/pembiayaan ASB, pinjaman/pembiayaan pendidikan dsb) ● Pinjaman/pembiayaan kenderaan ● Sewa beli ● Baki kad kredit/kemudahan kredit pusingan (cth. overdraf/kemudahan kredit dan kredit perdagangan) yang telah ditukar kepada pinjaman/pembiayaan bertempoh
Peminjam yang tidak memenuhi kriteria URUS dinasihatkan agar menghubungi bank masing-masing untuk berbincang tentang pilihan bayaran balik pinjaman/pembiayaan yang sesuai dengan keadaan kewangan mereka.
Perincian mengenai URUS boleh didapati di laman web bank-bank, AKPK, ABM dan AIBIM. Jika peminjam menghadapi masalah untuk memohon, hubungi BNM di sini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live