Setelah tujuh bulan mendirikan rumah tangga, pasangan selebriti Azzam Sham dan Sheryl Shazwani bakal menimang cahaya mata pertama mereka.

Khabar gembira itu dikongsi sendiri oleh Azzam Sham atau nama aslinya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham, 25, di Instagram miliknya pagi tadi.

Menerusi hantaran itu, Azzam meluahkan rasa syukur di atas rezeki yang dikurniakan kepada isterinya yang kini memasuki usia lima bulan kandungan.

“Segala puji bagi Allah SWT atas segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan.

“Pada hari Jumaat yang barakah ini, Azzam dan Sheryl ingin berkongsi berita yang kami bakal menimang cahaya mata pertama kami, inshaAllah.

“Usia kandungan kini memasuki 5 bulan atau trimester kedua,” kongsi Azzam.

Menerusi hantaran yang sama, Azzam turut meminta untuk mendoakan kesihatan isteri dan anak di dalam kandungan itu.

“Kami mengharapkan doa yang baik semoga urusan ibu dan zuriat yang bakal lahir ini dipermudahkan, menjadi anak yang soleh/solehah, penyejuk mata dan penyenang hati, membesar dengan baik dan sihat wal’afiat, menjadi insan yang berjasa kepada agama dan masyarakat. Aamiin Ya Mujib,” tulis penyanyi itu di ruangan kapsyen.

Terdahulu, Azzam dan Sheryl telah sah menjadi pasangan suami isteri pada Januari 2022 dengan sekali lafaz pada majlis yang bertempat di Masjid Nurul Ehsan Taman Medan, Petaling Jaya.

A post shared by Sheryl Shazwanie (@sherylshazwanie)