Sekilas
- Pelakon Nadia Brian akui risau watak antagonis yang sering dibawakannya akan terus melekat dan menjadi bualan orang ramai.
- Walaupun kerap dapat watak penyondol, Nadia yakin mampu membawa pelbagai karakter dengan penghayatan berbeza.
- Nadia berharap dapat mencabar diri dengan watak biopik, seperti watak Mahsuri, sebagai cabaran baru dalam kerjaya lakonannya.
Pelakon, Nadia Brian mengakui timbul kebimbangan dalam diri jika karakter antagonis yang sering dibawanya terus melekat dan sering menjadi bualan orang ramai.
Menurut Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, meskipun kerap menerima tawaran membawa karakter yang sebegitu, setiap watak tetap memerlukan usaha dan penghayatan berbeza.
Bagaimanapun, Nadia yakin dirinya mampu mencabar kemampuan dengan membawa karakter yang pelbagai dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu watak saja.
“Saya terlalu kerap dapat watak penyondol. Takut sebenarnya jadi badi. Tapi sebenarnya watak-watak sebegitu memerlukan usaha yang lebih.
“Saya rasa saya antara artis yang konsisten dapat watak yang seakan sama. Saya nak orang di luar sana tahu yang saya boleh buat lebih dari watak itu. Yang tak perlu ‘make up’ pun saya boleh,” katanya kepada Gempak.
Nadia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Telefilem Like & Latte yang berlangsung di Eleventea, Wangsa Maju baru-baru ini.
Ditanya mengenai watak yang diinginkan, Nadia memaklumkan bahawa dia mengidamkan watak biopik yang dianggap sebagai satu cabaran baharu dalam kerjaya lakonannya.
“Saya teringin nak bawa watak biopik. Contohnya seperti watak Mahsuri,” tambahnya.