HIBURAN
Usia Lebih 40 Tahun, Macaulay Culkin Tak Tahu Membasuh & Memandu
Macaulay Culkin mungkin merupakan bintang kanak-kanak paling popular yang pernah menjadi kegemaran ramai. Menerusi lakonannya dalam Home Alone, kehidupan Culkin dilihat sempurna.
Dan kesempurnaan itu ternyata terbawa-bawa dalam kehidupan sebenarnya apabila Culkin tidak tahu melakukan perkara asas seperti memandu dan membasuh baju.
‘Rahsia’ bintang yang sudah berusia 44 tahun itu tidak tahu memandu dan membasuh baju didedahkan oleh tunangnya, Brenda Song.
Song menerusi temu bual dalam The Jennifer Hudson Show mengatakan baru tahu Culkin tidak pandai memandu dan membasuh pada perkenalan pertama mereka.
“Saya selalu rasa Culkin seorang yang unik. Dia mungkin sangat terkenal sebagai pelakon kanak-kanak di dunia ini.
“Tapi dia masih tidak pandai memandu sehingga sekarang. Saya yang memandu untuk kami!”dedah Song seperti dilaporkan PageSix.
Aktres berusia 36 tahun itu kemudian secara berjenaka mengatakan perlu mengupah seseorang mengajar Culkin menggunakan mesin basuh dan membasuh pakaiannya.
“Culkin membesar dengan tinggal di hotel dan semuanya telah diuruskan. Jadi dia tidak pernah membasuh baju sendiri.
“Sementara saya telah melakukan kerja tersebut (membasuh baju) sejak 10 tahun dan kini mengajar dia macam mana untuk membasuh baju,” katanya lagi.
Must-Watch Video