Penyampai radio Tajdid Hadhari atau dikenali sebagai Ustaz Bola diumumkan sebagai personaliti baharu radio Zayan.

Hadhari yang juga seorang hos sebelum ini bakal mengendalikan segmen Zayan Valet, setiap Isnin hingga Jumaat, 3 petang hingga 7 malam melalui siaran udara dan di aplikasi SYOK.

Menerusi segemn tersebut, Hadhari akan memberi peluang kepada para peminat Zayan untuk menikmati dan menyertai perbincangan tentang dunia sukan tanah air dan perkongsian topik gaya hidup sihat, menerusi Zayan Valet bersama Hadhari.

Menariknya nanti segmen baru Zayan Fit akan menampilkan tetamu undangan.

Selain itu terdapat segmen-segmen menarik Zayan Valet seperti; Tanya Ikhlas, di mana peminat diberi kesempatan untuk bertanyakan soalan dan berkongsi pendapat berkaitan topik yang dikupas.

Hadhari juga akan mengendalikan segmen Kaji Ngaji, sebuah sesi perkongsian bacaan ayat Al-Quran berserta terjemahan oleh Hadhari bersama para peminat.

Sedikit mengenai Hadhari, dia dikenali ketika menyertai sebuah rancangan TV realiti Islam dan merangkul naib juara pada tahun 2014.

Hadhari juga mempunyai pengalaman sebagai seorang hos dan penyampai radio sebelum ini. Dalam bidang sukan, beliau mempunyai lesen bimbingan FAM 'D' di bawah jurulatih, Hassan Sazali Waras (Jurulatih Belia Nasional FAM) dan menjadi jurulatih bola sepak remaja bermula tahun 2019.