Pelakon popular Beto Kusyairy mengakui mempunyai sebab tersendiri menetapkan akaun media sosial Instagram (IG)nya kepada mod privasi.

Walaupun memiliki setengah juta pengikut di laman sosial tersebut, Beto berkata dia mahu mengekalkan pengikut berkualiti selain menapis komen yang tidak perlu.

“Dulu saya ‘public’ kan IG saya, tetapi banyak pula komen-komen yang tidak perlu seperti menulis benda lucah, menjual produk tah apa-apa, jadi saya fikir lebih baik saya tapis pengikut saya.

“Sekarang ni kalau ada yang tinggalkan komen seperti yang disebutkan tadi, saya sekat terus.

“Lebih baik saya bersama pengikut-pengikut yang betul-betul hargai saya dengan mengikuti perkembangan saya,” katanya.

Beto ditemui ketika Majlis Pelancaran Filem Televisyen (FTV) Frontliner di Big Boss, Publika, Kuala Lumpur.

Tambah Beto lagi, budaya memandang kepada jumlah pengikut untuk mempromosikan sesuatu drama atau filem adalah trend yang tidak sihat.

“Saya berada di dalam industri sebelum kewujudan media sosial lagi. Bagi saya tidak menjadi masalah pun jumlah pengikut ramai atau pun tidak.

“Jika jalan ceritanya baik dan sempurna naskah itu sendiri akan bergerak seiring dengan barisan pelakon,” katanya.

FTV Frontliner merupakan sebuah naskah asal yang diinspirasikan daripada kisah benar mengenai pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan yang menjadi pejuang benteng utama dalam membendung penularan wabak Covid- 19 yang sedang melanda seluruh dunia pada ketika ini.

Buah tangan terbaharu terbitan syarikat produksi D’Alphalegacy (M) Sdn. Bhd. ini turut mendapat sentuhan kreatif A’minahtul Marrdiah selaku penulis skrip dan diarahkan oleh sutradara berkaliber Razif ‘Ajiboy’ Rashid.

Frontliner dijangka bakal bersiaran menerusi platform Astro First Eksklusif di saluran 480 pada Oktober ini.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, FTV ini juga boleh distrim di platform digital menerusi perkhidmatan On Demand.