Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan beliau tidak akan mengambil suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech.

Sebaliknya, beliau akan menjadi orang pertama mengambil vaksin yang akan diluluskan selepas ini.

Menurutnya, tidak kiralah vaksin itu Sinovac atau Sputnik V, mana yang diluluskan terlebih dahulu, itulah yang beliau akan ambil.

"Saya lihat perdana menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan banyak kenamaan lain seperti menteri besar telah terima vaksin (Pfizer-BioNTech).

"Jadi rakyat sudah semakin yakin (dengan Pfizer) sekarang.

"(Jadi) saya akan ambil vaksin yang akan diluluskan seterusnya."

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena ketibaan bekalan kedua vaksin COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Minggu lepas, tanggal 21 Februari 2021, sejarah tercipta apabila kumpulan pertama vaksin Pfizer BioNTech tiba di bumi Malaysia.

Hari ini, 27 Februari 2021, bekalan pertama vaksin COVID-19 buatan syarikat biofarmaseutikal, Sinovac pula selamat tiba di tanah air pagi tadi.

Vaksin tersebut diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319.

Sumber & Foto: AWANI