Usahawan kosmetik Datuk Seri Vida mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini, terhadap satu pertuduhan memuat naik komunikasi bersifat sumbang pada Mei lalu membabitkan video muzik Muah Muah Raya.

Pemilik nama lengkap Datuk Seri Hasmiza Othman, 51, itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Vida didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat sumbang dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada 29 April lalu melalui akaun YouTube DSV Entertainment.

Video berkenaan kemudian dilihat di di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya pada 5 Mei lalu.

Jika sabit kesalahan, Vida selaku Orang Kena Saman (OKS) boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan

Timbalan Pendakwa Raya SKMM Fazril Sani Mohamed Fadzil, mencadangkan jaminan RM10,000.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Vida, Datuk Adnan Seman memohon jaminan diturunkan kepada RM2,000 dengan alasan ia kesalahan pertama OKS.

Ahmad Fuad kemudian mengarahkan Vida membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan beliau kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh sebutan untuk serahan dokumen.

Sumber – Berita Harian