Gara-gara perebutan tanah, tiga beradik bertindak kejam apabila membakar rumah yang diduduki dengan tujuan mahu membunuh ibu kandung mereka pada kejadian yang berlaku di daerah Yen My, wilayah Hung Yen, Vietnam.

Difahamkan, kejadian itu berpunca akibat konflik yang berlaku dalam keluarga tersebut apabila tiga remaja perempuan berkenaan tidak menerima pembahagian harta masing-masing daripada ibunya.

Susulan itu, kira-kira pukul 9.30 pagi, pemimpin penduduk dan polis Trung Hoa menerima laporan kebakaran yang berlaku di kawasan tersebut.

Laporan polis mengesahkan tiga remaja itu telah menuang satu tin petrol ke lantai rumah sehingga menyebabkan berlakunya kebakaran dan kecederaan.

Dalam pada itu, kebakaran tersebut telah mengakibatkan seorang daripada remaja berkenaan melecur di tangan sementara ibunya turut mengalami nasib sama di tangan dan rambut.

Menurut peguam Dinh Thi Nguyen, tragedi itu merupakan satu kes kebakaran yang serius kerana melanggar undang-undang.

Sekiranya situasi itu menyebabkan kematian ataupun pembunuhan, polis boleh mendakwa ia di bawah peruntukan Perkara 123 Kanun Keseksaan 2015 untuk menjalankan siasatan.

Nguyen berkata, untuk menentukan sama ada perbuatan itu boleh membawa kematian ataupun tidak, ia bergantung kepada ciri-ciri lokasi kejadian, orang yang hadir, jumlah petrol dicurahkan serta faktor mekanikal dan teknikal yang lain.

“Jika perebutan tanah merupakan punca utama, ia adalah satu perbuatan yang sangat kejam dan terkutuk. Apa pun puncanya, perlakuan ini tidak boleh diterima,” katanya.

Pihak polis dilaporkan akan memeriksa kawasan kejadian untuk mengenal pasti jenis jenayah yang berlaku sebelum menjalankan hukuman mengikut undang-undang.

Sumber- Majoriti

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini