BERITA
Video Baharu Dedah Tentera Israel Tembak Ambulans, Bunuh 15 Petugas Kesihatan
Rakaman video terbaharu yang menunjukkan tentera Israel menembak secara sengaja ke arah ambulans di Genting Gaza mencetuskan desakan supaya siasatan antarabangsa dijalankan berhubung kematian 15 petugas perubatan dan kemanusiaan.
Video berkenaan diperoleh daripada telefon milik seorang petugas yang terbunuh dalam insiden tersebut dan kemudian diterbitkan oleh The New York Times, sekali gus bercanggah dengan penjelasan awal rejim Zionis.
Tentera Israel mendakwa kenderaan kecemasan itu mendekati kawasan berkenaan secara mencurigakan tanpa menggunakan lampu utama atau indikator kecemasan.
Namun, Pejabat Media Kerajaan Gaza menolak dakwaan itu dan menyatakan rakaman tersebut “membongkar pembohongan tentera penjajah Israel”.
“Kami mendesak siasatan antarabangsa yang segera dan bebas terhadap jenayah pembunuhan petugas perubatan dan pertahanan awam, serta membawa penjenayah perang rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya dalam kenyataan.
Rakaman yang tular di platform media Palestin itu menunjukkan petugas memakai pakaian keselamatan cerah dan memandu ambulans bertanda jelas dengan lampu kecemasan yang menyala.
Setiausaha Agung Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC), Jagan Chapagain turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan serangan terhadap petugas kemanusiaan.
“Mereka percaya kenderaan yang bertanda Bulan Sabit Merah cukup untuk menunjukkan siapa mereka dan tujuan mereka. Mereka percaya undang-undang kemanusiaan antarabangsa akan melindungi mereka," katanya.
Chapagain turut menyifatkan insiden itu sebagai sebahagian daripada trend global yang semakin membimbangkan.
“Lebih ramai petugas bantuan kemanusiaan terbunuh di seluruh dunia. Trend ini mesti dihentikan. Petugas kemanusiaan wajib dilindungi demi nilai kemanusiaan itu sendiri,” tegasnya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video