Kejadian sekumpulan gangster membuli pengguna jalan raya di Jagakarsa, Jakarta Selatan, Indonesia, tular di media sosial beberapa hari lalu.

Kumpulan yang dikenali sebagai Gangster Jepang itu dianggotai oleh lebih 100 remaja lelaki dan setiap daripada mereka membawa senjata tajam sambil beraksi di jalan raya.



Sepotong rakaman video berdurasi seminit 47 saat memaparkan tindakan kejam Gangster Jepang menendang beberapa penunggang motosikal tanpa sebab sehingga berlaku kemalangan.

Menerusi video itu selepas menyerang penunggang motosikal, mereka melarikan diri sambil menjerit-jerit kegirangan.



Berdasarkan maklumat, kumpulan itu akan mula beraksi selepas pukul 12 tengah malam dan tindakan menyerang penunggang motosikal adalah prasyarat untuk menyertai Gangster Jepang.

Tindakan pantas pihak polis dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) menangkap kumpulan gangster itu untuk dihadapkan ke muka pengadilan dipuji netizen.




Hampir kesemua ahli kumpulan itu telah diberkas pada Selasa minggu lalu dan pihak berkuasa merampas senjata tajam yang digunakan antaranya sabit dan parang.

Selepas penangkapan kumpulan samseng itu, seorang pengguna Facebook telah berkongsi sebuah video memaparkan salah seorang anggota samseng itu disebat berkali-kali oleh pihak berkuasa.

Yang jelas kedengaran suara samseng itu meminta ampun dan merayu tidak disebat lagi.



Malah, beberapa kali juga remaja lelaki itu melaungkan kalimah Allahuakbar sambil menahan kesakitan disebat bertubi-tubi dengan getah paip.

Walaupun ada yang beranggapan tindakan hukuman itu bersifat kejam namun ada yang menyokong langkah terbabit.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Netizen Indonesia, Tribunnews