"Eh tak apa sayang... Dalam kehidupan ada yang suka ada yang tidak, jadi kita timbang yang mana lebih banyak," demikian ulas hos Gegar Vaganza 9 (GV9), Elly Mazlein membalas dakwaan netizen merujuk dirinya sebagai pengacara gedik dan over.

Tambah Elly atau lebih popular disapa Kak Lina Pom Pom, dia melihat setiap komen yang dilontarkan daripada sudut positif dan sentiasa optimis dengan pandangan penonton.

"Saya nampak lagi banyak positif, jadi saya ambil positif. Yang negatif tu tak apa, saya anggap semua orang ada hak untuk suka untuk tidak suka.

"Tapi tak apa, mungkin satu hari nanti orang yang tak suka itu akan suka saya. Itu hak mereka untuk berkata-kata. Jadi saya pilih untuk positif," katanya dalam temubual eksklusif Ria X sejurus tamat konsert kedua GV9 baru-baru ini.

Tambah Elly lagi, dia sentiasa bersedia dengan pelbagai kebarangkalian termasuk ketiadaan Nabil Ahmad dan kemunculan Danial Zaini berkongsi pentas mengemudi konsert itu.

"Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar, paling penting amanah kepada saya. Saya cuba buat sedaya upaya. Semoga semua orang suka, saya dah buat yang terbaik.

"Kebetulan minggu ini Nabil tak dapat datang, saya dan Danial menggalas tanggungjawab ini sehingga akhir konsert.

"Macam biasalah sebagai hos kita sentiasa bersedia berdepan dengan pelbagai kemungkinan. Show must go on! Jadi saya akan cuba buat demi penonton GV, Alhamdulillah semua orang ketawa gembira, itu yang saya nak," tegasnya.


Konsert kedua GV9 dihoskan oleh Elly Mazlein dan Danial Zaini yang menggantikan Nabil Ahmad. Bagaimanapun, kemunculan Danial kurang mendapat reaksi memberangsangkan dari penonton.

BACA: GV9: "Ada Yang Anggap Saya Pengacara Paling Teruk" - Danial Zaini Tampil Mohon Maaf, Last Minute Terpaksa Ganti Nabil Ahmad

GV9 yang mula bersiaran 18 September dari Auditorium MBSA Shah Alam menampilkan Nabil Ahmad dan Elly Mazlein sebagai pengacara.

Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100, 000, naib juara pula akan meraih RM50, 000, tempat ketiga akan menerima RM30, 000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.

Penerbitan ‘GV9’ turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi. Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama. Sidang media ‘GV9’ turut dibawakan dari Menara Kuala Lumpur.

Selain itu, penganjuran ‘GV9’ juga dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Astro GO, Gempak dan Ria X selaku Rakan Digital serta SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi dan disokong oleh Gegar untuk musim ini.

Eksklusif untuk pelanggan setia Astro, mereka berpeluang untuk menyaksikan ‘GV9’ secara LIVE dengan menjawab tiga soalan mudah di astro.com.my/gv9. 10 pasang tiket sedia untuk dimenangi setiap minggu.