Pelakon baharu Hariz Hamdan akui tidak kisah untuk melakonkan babak yang menuntutnya menanggalkan pakaian sehingga terdedah tubuh badan dalam mana-mana drama yang dibintanginya.

Jelas Hariz, 20, dia menganggap hal demikian sebahagian daripada kerja seorang pelakon, namun dirinya masih mempertimbangkan permintaan pihak pengarah mengenai hal tersebut agar tidak berlebih-lebihan.

“Pada saya sebagai seorang pelakon, apa yang di minta pihak pengarah saya akan bagi sahaja, itu adalah sebahagian daripada kerja pelakon.

“Pengarah minta saya buka baju, saya akan bukalah tetapi tidak berlebihan. Ada satu drama yang saya pernah buka baju, itu pun mengambil masa yang lama juga saya berbincang dengan pengarah mengenai hal tersebut.

“Sebagai manusia saya perlu pegang pada hak saya, ada limitnya. Saya tetap akan jaga maruah saya, bukan buat apa sahaja demi job,” katanya kepada Gempak ketika ditemui pada sesi fotografi bertempat di DXN Cyberville, Cyberjaya baru-baru ini.

Terdahulu, Hariz pernah menayang badannya menerusi babak sebuah drama yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.

Dalam perkembangan lainnya, bekas peserta Hero Remaja 2020 itu memaklumkan dia bakal menjalani sebuah pengambaran bagi drama terbaharunya yang turut dibintangi pelakon Nad Zainal, Syukri Yahya dan beberapa pelakon lain.

Malah, dirinya akui teruja untuk memulakan sesi penggambaran drama tersebut yang dijangka akan bermula pada bulan hadapan.

A post shared by Hariz Hamdan (@harizhamdann)