Penyanyi, Tomok terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM5,593 selepas anaknya secara tidak sengaja tertumpahkan pengilat kuku pada pakaian di sebuah butik berjenama.

Menurut Tomok, disebabkan kejadian itu pihak pengurusan butik tidak membenarkan mereka sekeluarga beredar melainkan membayar ganti rugi pada seluar dan baju tersebut.

“Saya bersama keluarga berada di The Garden Mid Valley untuk berbuka puasa, sekitar jam 9.30 malam isteri saya nak beli seluar.

“Tapi ada satu kejadian yang berlaku tadi, anak saya dah tumpahkan pengilat kuku pada baju dan juga seluar.

“Seluar berharga RM1,299 dan ia kena bukan pada satu tetapi pada empat helai seluar. Baju berharga RM499 dan juga RM899.

"Saya tak boleh buat apa, tak boleh keluar kedai. Saya kena bayar… Selepas diskaun saya dapat RM5,593,” jelasnya menerusi satu video terbaharu yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.

Mengakui kekhilafannya, Tomok bagaimanapun menganggap kejadian yang tidak disengajakan itu sebagai dugaan di bulan Ramadan.

Dalam masa yang sama, Tomok juga memaklumkan dia akan menjual kembali pakaian itu kerana tidak menepati saiz badannya.

“Saya nak jual balik seluar ini sebab bukan saiz saya dan terlalu besar untuk saya. Pengilat kuku hanya terkena sedikit sahaja (pada seluar dan baju).

“Saya faham ini peraturan kedai dan saya mengaku ini memang salah saya. Jadi kalau siapa yang nak beli boleh Direct Message (DM) saya.

“Saya pun tak tahulah, dah nak raya jadi begini pula. Tak apalah, ujian… Saya minta tolong, saya jual pun tak adalah harga yang penuh. Insya-Allah ada rezeki saya,” ujarnya.

A post shared by Tomok (@tomokofficial)

Terdahulu, Tomok atau nama sebenar, Shah Indrawan Ismail telah mendirikan rumah tangga dengan Rahayu Abbas pada 2 Julai 2011.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Arrian Shah Akid, 10, Andra Shah Iman, 8 dan Siti Khadijah, 3.