Jenama fesyen Rizman Ruzaini kembali menjadi sebutan selepas salah seorang perekanya, Rizman Nordin muncul menerusi podcast Apa Cerita baru-baru ini.
Menerusi podcast yang dikendalikan oleh Asraf Khalid dan Ishraq Kamarudin itu, Rizman berkongsi tentang perjalanan kariernya sebagai pereka fesyen dan bagaimana nama mereka mula dikenali sehingga ke hari ini.
Bermula dengan rekaan yang dihasilkan untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza sehinggalah berjaya mengundang supermodel Naomi Campbell untuk pertunjukan fesyen, perkongsian Rizman meraih perhatian umum.
Sudah tentu, perkongsian berkenaan dikongsi semula di beberapa platform media sosial termasuk platform X.
Namun, apa yang menarik perhatian, masih ramai yang dilihat tidak menyedari bahawa jenama Rizman Ruzaini itu merupakan hasil gabungan daripada nama Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil.



Rizman Ruzaini merupakan pereka fesyen prolifik negara. Selain Siti, antara figura lain yang turut pernah menggayakan busana rekaan mereka termasuklah Erra Fazira, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain.
Sumber: Platform X