HIBURAN
Wakaf Ambulans & Tak Sombong, Jiran Kongsi Kebaikan Allahyarham Mpok Alpa
Pemergian pelawak dan hos Indonesia, Nina Carolina atau terkenal dengan nama pentasnya sebagai Mpok Alpa kerana kanser pada 15 Ogos 2025 masih menyisakan banyak duka.
Selain rakan artis termasuk Raffi Ahmad, jiran tetangga wanita yang meninggal dunia pada usia 38 tahun itu menyifatkan Mpok Alpa sebagai seorang yang dermawan.
Menurut jiran-jirannya, Mpok Alpa yang memulakan kariernya sebagai penyanyi dangdut tidak pernah lokek berkongsi rezeki seperti sedekah dan duit raya.
“Allahyarham seorang yang sangat baik, sangat pemurah. Tidak sombong. Sekeluarga juga sangat ramah dengan penduduk kampung.
“Tidak pernah lokek, macam-macam acara kami lakukan di tanah hadapan rumahnya. Dia beri izin,” ujar seorang penduduk kepada Kompas.
Malah Mpok Alpa juga pernah memberi sebuah ambulans yang diwakaf kepada masjid untuk kegunaan penduduk kampung.
“Saya ingat ibunya pernah beritahu Allahyarham memang berhasrat untuk wakaf ambulans sejak sekian lama kepada penduduk kampung. Dari zaman dia mula sebagai penyanyi dangdut,” katanya sumber sama lagi.
Mpok Alpa meninggal dunia selepas tewas bertarung dengan kanser selama tiga tahun. Meski berdepan sakit kritikal, wanita itu tetap merahsiakan penyakitnya dan ceria di hadapan semua orang.
Allahyarham meninggalkan seorang suami termasuk kembar lelaki yang dilahirkan tahun lalu sewaktu bertarung dengan penyakitnya itu.
Must-Watch Video