TERKINI
Wakili Malaysia di Golden Memories Asia Indonesia, Azim Kamaruzzaman Gementar!
Bakat baru, Azim Kamaruzzaman gementar membawa nama Malaysia di pentas pertandingan nyanyian anjuran stesen televisyen Indosiar, Golden Memories Asia.
Golden Memories Asia merupakan sebuah pertandingan pencarian bakat nyanyian lagu-lagu nostalgia era 1970-an sehingga 2000 yang diikuti oleh enam negara Asia Tenggara iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor Leste.
Selain Azim, Malaysia diwakili oleh dua penyanyi wanita iaitu Farawahida dan Akma Abdullah (bekas peserta Akademi Fantasia 3) serta seorang lagi penyanyi baru, Eranz.
"Saya sangat gembira dan bangga kerana salah satu impian untuk tampil di pentas nyanyian besar serta ditonton jutaan orang telah menjadi kenyataan. Pada mulanya, saya seperti tidak percaya nama saya terpilih ketika pengumuman peserta dilakukan.
"Tapi kerana memang ini yang saya harapkan, saya rasa sangat gembira. Sejujurnya, saya rasa gementar dan teruja. Bukan sahaja saya harus bertanding dengan peserta negara lain, saya juga harus bersaing dengan peserta Malaysia sendiri.
"Saya rasa gementar kerana Akma, Fara dan Eranz jauh lebih berpengalaman di atas pentas dan pastinya bakal memberi saingan kuat di pertandingan ini. Namun begitu, kami sepakat mahu melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia," kata juara Astro Got Talent 2016 ini.

Dari 24 orang peserta, Azim dan tiga peserta Malaysia lain kini berada di kedudukan Top 12 dan bersaing untuk merebut sembilan tempat di pusingan seterusnya.
Antara komentator yang terlibat dalam Golden Memories Asia ialah Hetty Koes Endang, Soimah Pancawati, Ruth Sahanaya, Datuk Sheila Majid, Amy Search, Desy Ratnasari, Najip Ali dan ramai lagi.
Dalam pada itu, jejaka berusia 32 tahun ini juga meluahkan rasa gembira apabila persembahannya di peringkat Top 16 menyanyikan lagu Tenda Biru mendapat lima 'standing ovation' dari komentator.

"Ibarat mimpi menjadi kenyataan! Saya selalu menyimpan cita-cita untuk tampil di pentas besar, membuat persembahan sehabis baik dan mendapatkan 'standing ovation'.
"Ia telah menjadi kenyataan dan sangat bangga apabila mendapat penghormatan dari bintang-bintang ternama terutamanya Bunda Hetty! Alhamdulillah, penerimaan penonton juga sangat baik. Saya diterima seadanya.
"Saya juga mendapat sokongan dan komen positif dari penonton di Malaysia. Walaupun program ini khas untuk golongan ibu-ibu dan bapa-bapa di Indonesia, namun saya juga dapat menarik minat golongan lebih muda untuk menonton program ini," katanya lagi.
Rancangan Golden Memories Asia ini diacarakan oleh Ramzi, Gilang Dirga, Irfan Hakim, Indra Bekti, Jirayut Afisan serta dua selebriti Malaysia, Uyaina Arshad dan Zizi Kirana.
Must-Watch Video