Sekilas
- Episode kedua KUDRAT 1968: High Council menampilkan aksi sabung antara Abbas dan Kuda yang berakhir dengan undian menentukan pemenang, memihak kepada Abbas.
- Pelajar KUDRAT terpaksa berpindah ke Kem Tata KUDRAT selepas bekalan air dan makanan terputus, di mana konflik antara Abbas dan Kuda semakin memuncak dengan sabotaj dan penemuan wang biasiswa hilang.
- KUDRAT 1968 adalah prekuel kepada siri High Council, kini ditayangkan setiap Jumaat di Astro Ria dan Astro Citra, dengan episod awal boleh ditonton di Sooka dan Astro X3.
Episod kedua KUDRAT 1968: High Council dimulakan dengan aksi sabung antara Abbas dan Kuda lakonan Mierul Aiman.
Namun, aksi sabung tersebut gagal menentukan siapa yang layak bergelar pemenang apabila kedua-duanya tidak berjaya mengatasi satu sama lain.
Bagi menentukan kemenangan, para pelajar KUDRAT kemudiannya mengambil keputusan untuk membuat undian.
Pada awalnya, Abbas dan Kuda menyangka keputusan tersebut bakal berakhir dengan seri.
Namun, undian terakhir daripada Cad akhirnya menjadi penentu apabila dia memilih untuk menyebelahi Abbas.
Keputusan itu secara tidak langsung membuatkan Abbas mula mendapat perhatian dalam kalangan pelajar KUDRAT.
Dalam pada itu, keadaan di KUDRAT menjadi semakin tegang apabila para pelajar terpaksa berpindah ke Kem Tata KUDRAT (KTK) selepas bekalan air dan makanan di KUDRAT terputus.
Di kem tersebut, konflik antara Abbas dan Kuda sekali lagi tercetus apabila Kuda cuba melakukan sabotaj terhadap Abbas dengan memberikan madu gila kepadanya.
Pada masa sama, Cad menemui sesuatu serta wang biasiswa milik pelajar KUDRAT yang dipercayai telah diambil dan disimpan oleh Kuda.
Penemuan tersebut akhirnya membuka satu lagi persoalan besar mengenai tindakan Kuda dan punca sebenar masalah yang berlaku di KUDRAT.
Persoalannya, adakah segala rahsia Kuda akhirnya terbongkar dan bagaimana konflik tersebut diselesaikan?
Sekadar info, KUDRAT 1968 merupakan prekuel kepada dunia High Council yang membawa penonton menelusuri permulaan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar, sekali gus menjadi titik awal kepada kisah yang diperkenalkan menerusi siri Projek: High Council dan filem Kahar: Kapla High Council.
Naskah arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff itu dibintangi Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, Akmal Asyraf dan ramai lagi.
KUDRAT 1968: High Council kini ditayangkan di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108) setiap Jumaat, jam 9.00 malam. Penonton juga boleh menonton episod lebih awal pada jam 12 tengah malam melalui Sooka atau Astro X3.