Kontrak bekas anggota DOLLA, Syasya Rizal bersama Universal Music Malaysia masih tidak terbatal, sungguhpun dia mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan berkenaan baru-baru ini.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, setiap daripada anggota DOLLA mengikat kontrak secara individu dan secara ‘atas kertas’, Syasya masih bernaung di bawah label berkenaan.

Masih bersama

“Syasya masih ada kontrak bersama Universal Music Malaysia. Kesemua anggota DOLLA bernaung di bawah Universal Music Malaysia menerusi kontrak individu, dan kemudian baru DOLLA ditubuhkan.

“Jadi, disebabkan mereka mempunyai kontrak secara individu, setiap apa yang ingin dikongsikan, mereka perlu beritahu pihak label secara individu. Jadi, secara rasminya, kontrak Syasya masih lagi bersama Universal Music Malaysia,” katanya kepada Gempak.

Kim Lim berkata demikian ketika ditemui pada sidang media usai Majlis Rumah Terbuka Universal Music Malaysia Bersama Samsung yang diadakan pada Rabu.

Menurut Kim Lim, setiap kontrak yang ditandatangani oleh anggota DOLLA hanya menggariskan keutamaan mereka untuk mempromosikan diri sebagai ahli kumpulan berkenaan.

Promosi sebagai DOLLA

“Mereka hanya komited sebagai satu kumpulan, terutama dari segi promosi. Hal ini merupakan perbincangan yang berlaku antara dua parti, dan ia bukan dilakukan oleh label semata-mata atau individu,” katanya lagi.

Ditanya adakah Syasya bakal menghasilkan karya solo, Kim Lim berkata: “Itu kami tidak pasti. Tapi buat masa sekarang, dia mahu berhenti seketika kan kami menghormati keputusannya,” katanya lagi.

Terdahulu, peminat DOLLA dikejutkan dengan berita pengunduran diri Syasya daripada kumpulan berkenaan dengan alasan yang melibatkan hal peribadi.

Ahad lalu, Syasya sekali lagi mengejutkan peminatnya apabila dia mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati pada sebuah majlis tertutup.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rancangan Mendirikan Rumah Tangga Antara Faktor Pengunduran Syasya Daripada DOLLA” – Pengarah Urusan Universal Music Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat Sokong Jika Syasya Mahu Berhijab - “I Will Continue Supporting Her”