Kontroversi membabitkan pelakon Niezam Zaidi sejak kelmarin telah mencetuskan pelbagai reaksi bercampur baur khususnya dalam kalangan peminat dan penggiat industri.

Ada yang kecewa, namun tidak kurang juga mereka yang seakan tidak percaya perkara demikian boleh berlaku.

Pun begitu, masih ramai juga tampil memberikan kata-kata semangat terhadap Niezam termasuklah rakan selebriti.

Menerusi pemantauan Gempak di posting Instagram Niezam semalam, ramai rakan artis ‘membanjiri’ ruang komen dengan memberikan sedikit kata-kata perangsang.

“Allah nak bagi yang best untuk kau, sesungguhnya Dia yang sebaik baik perancang. Stay strong brother,” tulis pelakon Namron.

“Something big is coming brother, trust the process, InsyaAllah,” kata pelakon kacak Remy Ishak.

“Berani kerana benar, walaupun tersasar pandangan kasar. Allah maha besar, hero Manjoi always adab tinggi,” tulis pelakon Iqram Dinzly.

Selain mereka bertiga, Zoey Rahman, Aweera, Syazwan Zulkifly, Pekin Ibrahim, Ungku Hariz juga tampil membuat perkara yang sama.

Terdahulu, pelakon Niezam Zaidi tampil memohon maaf atas kesalahannya yang dikatakan terbabit dalam kancah dadah.

Jelasnya, dia ketika ini mahu mendiamkan diri daripada mengeluarkan sebarang komen mengenai isu tersebut.

“Buat masa sekarang,saya simpan apa-apa comment mengenai isu ini.

“Semoga kalian semua sihat sentiasa dan diberkati serta dirahmati, amin,” katanya menerusi satu hantaran terbaru di Instagramnya sebentar tadi.

BACA: “Saya Minta Maaf Jika Ada Salah Silap” - Niezam Zaidi

Sekadar info, Niezam bersama seorang pengarah dan penolong pengarah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas tuduhan memiliki dadah di sebuah rumah di Taman Chandan Putri 2, pada Ahad.

Ketiga-tiga tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Shazmeer Zamhari.