Penyanyi yang popular dengan lagu hit Alhamdulillah, Wani Syaz mengakui Haqiem Rusli merupakan artis lelaki yang rapat dengannya dalam industri hiburan.

Begitupun, Wani atau nama sebenarnya, Nursyazwani Selamat, 23, berkata, hubungan rapat tersebut terjalin disebabkan mereka berdua duduk di bawah bumbung syarikat rakaman yang sama.

"Saya memang rapat dengan Haqiem, saya selesa berkawan dengannya. Lagipun, kami berdua memang duduk bawah label yang sama iaitu FMC Music.

"Kawan rapat sebab sama-sama satu industri. Tapi bukanlah, saya mempunyai hubungan istimewa dengannya. Rapat sebagai kawan sahaja," katanya kepada Gempak.

Menurut Wani lagi, buat masa ini, dia juga masih kekal solo dan tidak mempunyai perancangan untuk menjalin sebarang hubungan istimewa.

"Saya tak ada siapa-siapa (istimewa). Itulah kena tolong saya carikan kot," selorohnya.

Pelantun lagu hit Pendusta Cinta itu berkata demikian ketika sesi live di Instagram menerusi program #ArtisDudukDiam.



Dalam pada itu, menurut Wani, di bulan Ramadan ini, dia juga sibuk menguruskan perniagaan restoran yang diusahakannya di Batu Pahat, Johor.

"Buat masa sekarang memang saya di Johor sahaja memandangkan aktiviti seni masih lagi tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Jadi, untuk bulan Ramadan ini, memang hari-hari sibuk untuk menjual makanan bagi juadah berbuka puasa," katanya.

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!