Seorang wanita berusia 61 tahun baru-baru ini menjadi mangsa penipuan skim pelaburan emas yang menyebabkan kerugian sebanyak RM6.2 juta.

Difahamkan kes itu berlaku selepas wanita tersebut melayari blog pelaburan di Facebook dan telah menekan satu pautan yang membawanya kepada aplikasi Whatsapp.

BERITA TRENDING: Isu Kena Scam Dengan Katering, Abang Sebak Tengok Ahli Keluarga ‘Uruskan’ Dewan Menjelang Resepsi Adik

Menerusi kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Haji Hassan Basri berkata, wanita berkenaan telah memasukkan dana sebanyak 32 kali ke dalam 11 akaun bank yang berbeza berjumlah RM6,220,000.

Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya telah ditipu pada 22 Januari 2024, selepas mahu mengeluarkan wang sebanyak RM2,200,000 namun platform pelaburan tidak dapat diakses.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas jenayah menipu.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak turut mengingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan di media sosial khususnya skim dalam Facebook yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Orang awam juga boleh menyemak akaun bank dan nombor telefon yang mungkin terlibat dalam kes penipuan menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my.

Sumber: Platform X