Laman Utama
Wanita Sanggup Sorok 'Gelang Pink’ Semata-Mata Nak Pergi ‘Shopping’
Semalam tular di media sosial seorang wanita di Melaka, memakai gelang tangan merah jambu mengunjungi sebuah pasar raya.
Tindakan wanita tersebut mencetus panik di kalangan orang ramai yang mula mempersoalkan tentang sikap tidak bertanggung jawabnya itu.
Apatah lagi dia yang sepatutnya menjalani kuarantin sehingga Khamis ini sanggup menyorokkan gelang yang dipakai di tangan kanannya bagi mengelak status kesihatan diketahui.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, mengesahkan wanita tersebut melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Afzanizar berkata, gerak-geri wanita yang juga pekerja sebuah kilang di Batu Berendam itu disedari beberapa orang awam sebelum melaporkan kepada pengawal keselamatan pasar raya berkenaan.
Selepas disoal pengawal keselamatan dia mengakui mengunjungi pasar raya tersebut bersama saudara lelakinya untuk membeli-belah barangan keperluan sambutan Deepavali.
"Pengawal keselamatan itu mengarahkan wanita terbabit keluar dari premis dan memintanya menunggu di hadapan pejabat pegawal keselamatan sebelum menghubungi Balai Polis Batu Berendam.
"Sementara menunggu ketibaan polis, pengawal keselamatan itu menyoal siasat wanita terbabit dan mendapati dia datang ke pasar raya berkenaan bersama seorang saudara lelakinya sebelum dia diarah memanggil saudaranya itu," katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Tambah Afzanizar, setibanya polis di lokasi kejadian, wanita berkenaan bersama lelaki itu diarah pulang ke rumah untuk menyambung kuarantin sambil diiringi kereta peronda polis bagi memastikan mereka sampai ke rumah.
Katanya, siasatan mendapati wanita itu adalah Orang Di Bawah Pengawasan (PUS) dan tempoh kuarantin berakhir pada 12 November ini.
"Tiada tangkapan dibuat, bagaimanapun wanita itu sudah dimaklumkan untuk menyerah diri ke balai polis selepas tamat tempoh kuarantin serta menunjukkan keputusan ujian Covid-19 ke atasnya negatif.
"Siasatan ke atas wanita itu dilakukan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.
Must-Watch Video