“Watak Barkoba Asal Daripada 16 & 17 Puasa” - Bell Ngasri Tak Sangka Masuk Francais Kampong Pisang

Pelakon komedi popular Bell Ngasri tidak menyangka wataknya sebagai Barkoba dalam telefilem 16 dan 17 Puasa dipilih oleh pengarah Mamat Khalid untuk diserapkan ke dalam francais Kampong Pisang.

Menurut Bell atau nama sebenarnya, Ngasrizal Ngasri, 40, dia masih mengekalkan karakter asal Barkoba dalam 16 dan 17 Puasa ke dalam siri Kampong Pisang ini.

“Watak Barkoba tidak pernah ada dalam mana-mana franchais Kampong Pisang yang terdahulu dan ia sebenarnya berasal daripada telefilem 16 dan 17 Puasa.

“Pada awalnya saya tak tahu kenapa abang Mamat nak selitkan watak Barkoba dalam siri ini, siap dapat watak utama lagi, tujuannya mungkin untuk mewarnai penduduk Kampong Pisang.

"Tapi kalau ikutkan pada kain yang ikat di kepala saya ni, itu maksudnya saya mengekalkan watak asal daripada 16 dengan 17 Puasa,” jelas Bell sewaktu majlis sidang media virtual Kampong Pisang Bersiri-siri baru-baru ini.

Barkoba merupakan seorang duda berusia 40-an yang menjalankan perniagaan MLM.

Dia mempunyai seorang anak perempuan bernama Cempaka dan merupakan orang kaya dalam Kampong Pisang.

Barkoba juga mempunyai banyak “cable” budak-budak rempit daripada kampung sebelah.

Tambah Bell lagi, dia menimba banyak ilmu dan pengalaman sepanjang berlakon bersama barisan pelakon dan di bawah arahan pengarah tersohor Mamat Khalid.

“Cabaran melakonkan drama siri ini adalah saya berlakon bukan dengan para pelakon tetapi dengan barisan pengarah-pengarah hebat seperti Mat London dan Aziz M Osman. Silap-silap, pelakon lain dah takde job lepas ni. Hahaha.

“Kelainan yang kita dapat dalam karya abang Mamat sendiri seperti yang kita ketahui, berikan pengalaman baru bagi saya.

"Terima kasih pada abang Mamat kerana sudi bawa watak Barkoba ini ke dalam Kampong Pisang Bersiri-siri,” jelasnya lagi.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).