Pelakon Liyana Jasmay meluahkan rasa teruja dapat kembali dalam drama bersiri Histeria The Series, hasil kesinambungan daripada filem asal lakonannya, Histeria.

Menurut Liyana, kisah Histeria The Series sangat menarik hasil garapan pengarah yang sama dengan filem iaitu James Lee.

“Bila saya terima tawaran untuk kesinambungam filem Histeria daripada Gayatri, saya agak terkejut tapi mestilah nak sebab bila Gaya kata watak saya sahaja yang hidup masa filem terdahulu, saya sendiri pun terlupa.

“Sejujurnya saya cuba nak tonton balik filem Histeria tu tapi tak tahu kat mana nak tengok balik. Saya hanya ingat-ingat balik dan pengarah pun sangat membantu untuk maklumkan apa yang dia nak daripada saya.

“Cerita ni sangat menarik sebab Histeria ni dia tak akan mati, akan sentiasa ada pelajar yang panggil hantu,” jelas Liyana kepada Gempak.

Liyana ditemui pada majlis tayangan perdana Histeria The Series bertempat di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Isnin.

Menjelaskan wataknya yang dibawa ke dalam naskhah siri, Liyana yang memegang watak sebagai Murni menjadi perantara di antara para pelajar tersebut dengan misteri yang menghantui mereka.

“Watak Murni dalam Histeria The Series ni sebenarnya gila. Dia sorang je yang hidup daripada filem asal jadi dia agak terganggu dengan semua perkara di sekelilingnya.

“Pada masa yang sama dia rasa bersalah terhadap semua kawan-kawan dia yang dah mati. Kiranya daripada dia kena tangkap dulu, 14 tahun dia duduk dalam hospital mental,” ujarnya lagi.

Selain Liyana, Histeria The Series dibintangi Mia Sara Datuk Afdlin Shauki, Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid AlYahya, Amelia Christie, Serra Kamal, Namron, Tony Eusoff, Ziana Zain, Ziha Salleh, Fimie Don, Mathni Razak dan Dr. Rosdeen Suboh.

Histeria The Series mengisahkan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah berasrama mulai dihantui oleh perkara misteri dan membawa mereka untuk menjejak kes pembunuhan yang berlaku di sekolah mereka 10 tahun yang lalu.

Sejak daripada penyiasatan mereka, satu per satu insiden dan perkara ngeri berlaku sehingga menyebabkan kejadian yang berlaku pada 10 tahun lalu bakal berulang.

Episod pertama Histeria The Series akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pada jam 9.00mlm, 6 Jun ini.

Manakala untuk minggu-minggu seterusnya, saksikan siri drama premium ini pada setiap hari Isnin.

Saksikan Histeria The Series yang akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 6 Jun ini. Untuk pilihan alternatif, anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand.