Berita
Watak Utama Dalam The Garden Of Evening Mists Seorang Wanita Kerana...
Novel yang diadaptasi menjadi filem, The Garden of Evening Mists (TGOEM) hanyalah sebuah karya fiksyen yang mengetengahkan kisah perjalanan seorang wanita yang menjalani kehidupan selepas Perang Dunia Kedua.
Penulisnya, Tan Twan Eng mendedahkan bahawa dia sengaja memilih untuk menonjolkan wanita sebagai karakter utama bagi mewujudkan kelainan berbanding novel pertama tulisannya, The Gift of Rain.
"Inspirasi untuk menulis TGOEM ini tercetus selepas saya selesai menulis novel pertama saya. Ini kerana, novel pertama saya berlatar belakangkan sewaktu Perang Dunia Kedua, jadi, saya mahukan sebuah progres kepada kehidupan Malaya selepas Perang Dunia Kedua pula.
"Ya, ia sebuah fiksyen. Cuma, dalam novel pertama, saya menekankan watak lelaki. Jadi, untuk novel kedua saya pilih untuk menceritakan kisah dari sudut pandang seorang wanita pula," katanya kepada Gempak.
Menurut Twan Eng lagi, dia mengakui berdepan cabaran tersendiri untuk membangunkan watak utamanya iaitu Teoh Yun Ling.
"Namun, saya mendapat nasihat daripada penulis lain untuk membayangkan apa yang ada di dalam sebuah beg tangan seorang wanita.
"Begitu juga dengan watak Teoh Yun Ling yang merupakan seorang hakim. Beg seorang hakim tak sama dengan seorang penyambut tetamu. Jadi dari situlah saya bina karakter tersebut.
"Apapun, selepas satu pertiga saya menulis, saya lebih melihatnya sebagai manusia sahaja berbanding sama ada dia seorang lelaki atau seorang wanita," kongsinya.
Novel TGOEM diterbitkan pada 2012 selepas proses penulisan bermula sekitar tahun 2008.
Karya itu kini diangkat menjadi sebuah filem terbitan Astro Shaw bersama HBO Asia yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 16 Januari depan.
Antara nama besar yang menjayakan filem adaptasi itu ialah Sinje Lee (The Eye), Hiroshi Abe (After The Storm), Sylvia Chang (Love Education), David Oakes (Cold Skin), Julian Sands (The Girl With The Dragon Tattoo) dan John Hannah (The Mummy).
Filem tersebut menceritakan kesengsaraan kehidupan Teoh Yun Ling (lakonan Sinje Lee) akibat kekejaman Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu yang cuba mencari ketenangan di Cameron Highlands.
Bagaimanapun, sewaktu di sana, ketika dia berusaha untuk membina sebuah taman bagi menzahirkan penghormatan kepada adik perempuannya yang terkorban, dia menjalin hubungan cinta terlarang bersama seorang tukang kebun bernama Nakamura Aritomo (lakonan Hiroshi Abe).
Must-Watch Video