Kehangatan sukan bola jaring Netball Super League (NSL) 2022 kini kembali dan membuka tirainya bermula esok.

Paling hangat apabila pentas NSL 2022 menjanjikan aksi lebih mencabar menerusi penggunaan format liga sepusingan di mana setiap pasukan akan bertemu dan berentap dengan semua pasukan yang mengambil bahagian.

Saingan empat minggu itu menyaksikan lapan pasukan sama pada edisi lalu iaitu KL Wildcats, Johor Jewels, Selangor Angels, Perak Phoenix, Melaka Mystic, Negeri Sembilan Venom, Kedah Sunshine dan Pahang Tulip turun memburu kejuaraan bagi edisi kedua.

Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Alwiyah Talib percaya NSL 2022 akan bertambah hebat dengan adanya gabungan pemain tempatan dan import.

Selain itu, Alawiyah juga menyifatkan pentas tersebut adalah medan terbaik bagi persediaan sebelum menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia yang bakal berlangsung September depan.

"Selain pembabitan pemain kebangsaan, kehadiran pemain muda yang berbakat dan lebih bertenaga pasti memberi impak kepada setiap pasukan nanti.

"Bukan itu sahaja, terdapat pasukan yang akan menggunakan khidmat pemain import dan ini pasti menghangatkan lagi perlawanan nanti.

"NSL ini juga dilihat sebagai medan terbaik bagi pemilihan pemain serta pemanas badan sebelum menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia pada September ini," katanya.

Pertandingan yang memasuki edisi kedua itu akan diadakan di Stadium Juara, Bukit Kiara, bermula 3 Jun hingga 26 Jun 2022.

Majlis perasmian dan pengenalan jersi baru-baru ini juga turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, yang menyokong sepenuhnya usaha Astro memartabatkan sukan negara.

Antara aksi menarik hari pertama Sooka NSL membabitkan Perak Phoenix menentang Negeri Sembilan Venom, Johor Jewels berentap dengan Kedah Sunshine diikuti KL Wildcats dan Melaka Mystic.

Selain daripada hadiah kemenangan meningkat ke RM20,000 untuk juara, perubahan format pertandingan liga sepusingan juga antara kelainan yang menjadikan penganjuran Sooka Liga Super Bolajaring (NSL) musim ini lebih menarik.

Jangan lupa untuk membeli tiket di www.tickethotline.com.my untuk menonton Sooka NSL 2022 di stadium atau tonton secara langsung di Astro Arena dan Sooka.