Bukan satu, tetapi dua! Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James membawakan dres motif etnik Sarawak hitam putih serta gaun ‘kampungku’ sebagai kostum kebangsaan bagi pertandingan ratu cantik dunia tersebut kali ke-69.

Kostum kebangsaan kali ini hasil ciptaan pereka terkenal Carven Ong dan Francisca diperhebatkan dengan hiasan kepala oleh Wesley Hilton daripada Borneo Doll.



Busana ‘Kampungku’ ini diinspirasikan daripada rumah Melayu tradisional yang terletak di kawasan kampung di Malaysia.

Seni bina tradisional seberat 45kg ini turut menerapkan elemen rumah kampung, mengkuang, songket, replika ayam serta pokok kelapa untuk berentap bersama 73 negara lain.

Manakala dres hitam putih itu lebih bercirikan gelamai dengan perincian basikal tua di bahagian kepala.



Bagi gaun petang, Francisca memperagakan busana ketat berwarna biru laut daripada pereka Rizman Ruzaini.

Gaun sarat perincian yang berbelah di bahagian kaki ini diinspirasikan daripada puteri kelahiran Sarawak, Puteri Sejinjang.

Mereka mengambil inspirasi daripada flora dan fauna yang terletak di sebuah pulau di negeri Sarawak dengan elemen kilauan dan taburan batu permata.



Pertandingan Miss Universe akan diadakan pada 16 Mei ini di Florida, Amerika Syarikat.

Selamat maju jaya buat Francisca Luhong dan semoga nama Malaysia mendapat tempat dalam pertandingan kali ini.