Skip to main content

Reviu

“Ya, Undang-Undang Memperuntukkan Anak Angkat Perlu Diserahkan Jika Keluarga Kandung Mahu Semula Tapi…” Dr. Syazwani.

intrend-ag-main.jpg

Teks: Nor Hatina Shuib


Di negara ini, kita sudah ada pelbagai saluran untuk mengatasi kes seumpama ini. Bermula daripada talian Nur yang boleh dimanfaatkan masyarakat bagi membantu melindungi mangsa dera dan beoperasi selama 24 jam setiap hari.


Malah, dari aspek perundangan pula, kerajaan komited  untuk bersama-sama  menambah baik akta kanak-kanak untuk melindungi kanak-kanak di negara ini. Antaranya adalah Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

 
Pastinya kes yang sedang diberi perhatian kini ialah berkaitan adik Amir yang dipercayai didera sehingga menyebabkan kematian oleh ibu kandung dan bapa tiri sendiri yang berlaku baru-baru ini. Bagai manapun, dalam kes Allayarham adik Amir ini, mungkin ada penambahbaikan perlu diperhalusi yang memfokuskan sedalam-dalamya terutamanya dalam isu pengambilan anak angkat juga.
 

Ia berkaitan dua pihak iaitu ibu dan bapa kandung serta keluarga angkat dengan memperinci aspek seperti hak dan kelonggaran yang sepatutnya diberikan kepada keluarga angkat yang  diperakui berpotensi menjadi pelindung yang baik kepada anak angkat mereka  supaya keluarga kandung atau waris tidak sewenang-wenangnya mengambil anak mereka kembali jika si anak sudah selesa dengan keluarga angkatnya. 
 

Kredit foto: Google 
 


Manakala bagi yang mahu mengambil anak angkat, perlu mempunyai perjanjian hitam putih yang disahkan pihak berwajib. Ini  berikutan apabila ibu kandung atau waris mahu mengambil semula, tetapi si anak sudah selesa dengan ibu bapanya, hak ibu bapa angkat  dapat dipertahankan dengan alasan konkrit seperti  menjaga emosi kanak-kanak yang sudah dijaga sejak usia bayi selain ekonomi yang stabil.


Pada masa sama, mungkin boleh  melantik satu pihak  bebas  dan bertanggungjawab membuat tinjauan berkenaan  latar belakang dan status ekonomi ibu-bapa kandung  selain menentukan  tahap kesihatan mental dan emosi ibu atau bapa kandung  sebelum anak kembali kepada keluarga.



Kupasan dan Tindakan Tepat Daripada Pakar
 
Bagi mendapatkan pandangan yang lebih tepat  berkenaan isu ini, jom kita lihat sudut pandang, Pensyarah Kanan, Bahagian Kerja Sosial, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakat, Universiti Sains Malaysia ( USM), Dr Syazwani Drani.

 


Pensyarah Kanan, Bahagian Kerja Sosial, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakat, Universiti Sains Malaysia ( USM), Dr Syazwani Drani


 

Beberapa hari ini, kita dikejutkan dengan situasi seorang kanak- kanak berusia tujuh tahun mati disyaki didera  ibu kandung dan ayah tirinya. Ia hanya lebih kurang tiga bulan selepas diserahkan kepada ibu kandung oleh ibu angkatnya. Bagaimana anda melihat situasi ini dan apa pandangan anda?

Jawapan: 
Kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun adalah satu perkara tragis yang berlaku ketika kesemua rakyat Malaysia sedang bertarung melawan wabak pendemik COVID-19 dari terus menular.  


Situasi yang berlaku ini berkemungkinan akibat daripada tekanan hidup yang dihadapi oleh ibu kandung dan bapa tiri mangsa dalam menjalani kehidupan harian. Kematian kanak-kanak ini boleh dikaitkan sebagai pembunuhan “Altrustic” yang dipetik daripada Dr. Philip J. Resnik merupakan seorang pakar psikatrik di Amerika Syarikat.  


Pembunuhan “Altrustic” ini merujuk kepada satu tanggapan, persepsi, atau fikiran bahawa kematian anak adalah solusi kepada penyelesaian masalah atau bebanan yang ditanggung.  Kebiasaannya perbuatan ini disertakan dengan niat dan membawa kepada perbuatan atau tindakan. 


Adakalanya perkara ini boleh berlaku apabila kesihatan mental ibu bapa tidak stabil. Ditambah pula dengan amarah atau dendam. Kita ketahui bahawa kanak-kanak ini telah dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh keluarga angkat. Apabila berada dengan ibu kandung, acuan dan didikan berbeza bagi kedua-dua buah keluarga.


Kedah keibubapaan juga berbeza. Pada usia tujuh tahun kanak-kanak sudah pandai berbicara, sudah mampu berfikir dengan kompleks dan membandingkan kaedah penjagaan bagi kedua ibu bapa. Perkara ini boleh menimbulkan rasa ketidakpuasan hati ibu kandung apabila dibanding-bandingkan dengan ibu angkat atau nama ibu angkat sentiasa meniti di bibir.
 

Perasaan cemburu, marah boleh membawa kepada perbuatan kecederaan fiizikal yang mungkin pada mulanya dikatakan untuk mendidik dan mengajar. Namun, ketidakseimbangan emosi tanpa pengawalan boleh menyebabkan perbuatan  ini menjadi kronik sehingga mengakibatkan kematian. 

 

Kredit foto: Google 
 

2. Kesan psikologi bagi kanak-kanak yang sudah selesa berada di bawah jagaan ibu angkat tetapi terpaksa serahkan kembali kepada keluarga angkat atas prinsip undang undang?

Jawapan: 
Kita sedia maklum bahawa, mengikut peruntukan undang-undang anak angkat perlu diserahkan kepada ibu bapa kandung sekiranya ibu bapa kandung menginginkan anak tersebut kembali ke pangkuan keluarga. Namun, dalam situasi ini kita dapati kanak-kanak ini telah dibesarkan oleh keluarga angkat sejak berusia 2 bulan hingga menjangkau usia 6 tahun.


Sudah pasti ia ditatang bagai minyak yang penuh memandangkan kanak-kanak ini merupakan “anak bongsu” dalam keluarga angkat. Kanak-kanak ini membesar dengan budaya, fahaman dan acuan keluarga angkat yang telah diterapkan sejak kecil.  


Kembali menjalani kehidupan bersama ibu kandung memerlukan kanak-kanak ini adaptasi  dengan persekitaran yang baharu. Sekiranya daya tindak kanak-kanak ini tidak dibantu, ia  boleh memberi kesan psikologi kepadanya. Pertama, kanak-kanak akan mengalami ganguan  persepsi terhadap diri, ibu angkat dan ibu kandung.


Ini akan menimbulkan ketakutan dan  kekeliruan pada diri kanak-kanak tersebut. Kedua, situasi ini juga boleh menyumbang kepada  perubahan psikososial seperti perubahan tingkah laku, emosi, dan sosial yang membawa kepada keadaan kemurungan kerana mempertaruhkan kehidupannya dalam situasi dan suasana  yang baru. 



 


Kredit foto: Google 
 


3. Jika situasi ini berlaku kepada ibu angkat yang sudah lama menjaga anak angkatnya tetapi  minta dipulangkan kembali kepada ibu kandung, apa tindakan positif yang boleh  dilakukan

Jawapan: 
Sekiranya situasi ini berlaku, terdapat beberapa tindakan positif yang boleh dilakukan. Antaranya, adalah dengan mengekalkan hubungan ibu angkat dengan anak angkat meskipun  kembali kepangkuan keluarga kandung. Hubungan silaturrahim antara kedua-dua keluarga perlu dibina dengan baik agar hubungan yang terjalin tidak terputus.
 

Selain itu, komunikasi  dan perbincangan dua hala antara ibu angkat dan ibu kandung perlu dilakukan bagi  membenarkan kanak-kanak ini boleh berjumpa, bermalam dan berkomunikasi dengan keluarga  angkat meskipun terpisah dengan jarak yang jauh.


Ini secara tidak langsung akan meningkatkan  keharmonian, kebajikan dan keselamatan kanak-kanak ini yang mendapat perhatian dan kasih  sayang dari dua buah keluarga. Sekiranya perlu, satu perjanjian boleh dilakukan dengan  persetujuan kedua-dua belah pihak berkaitan penjagaan terhadap kanak-kanak ini. 


 
4. Pihak mana boleh dirujuk untuk tangani perkara ini sekiranya berlaku kepada masyarakat. 


Jawapan:  
Beberapa pihak yang boleh dirujuk sekiranya perkara ini berlaku adalah dengan melibatkan  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan kebajikan dan pengangkatan mengikut Akta  pengangkatan 1952.

Pihak peguam bagi mendapatkan kebenaran penjagaan dengan perintah  mahkamah sekiranya perlu dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan keselamatan  kanak-kanak yang dijaga. 

 


Kredit foto: Google 

 

5. Sememangnya ibu kandung adalah individu yang melahirkan, membesarkan tetapi  disebabkan kekangan kewangan dan keadaan terdesak, mereka memilih memberikan anak  untuk dijaga keluarga angkat. Namun, jika si ibu mengalami masalah kesihatan mental dan desakan hidup lain, apa perlu dilakukan? Bagaimana bantuan dapat diberikan dan kaedah  terbaik untuk tangani?

Jawapan: 
Dalam situasi ini, sekiranya si ibu mengalami masalah kesihatan mental, sebaiknya anak di  bawah jagaan perlu diserahkan kepada ahli keluarga terdekat untuk mendapatkan pelindungan  bagi tujuan keselamatan.


Ia dikuatiri boleh memudaratkan kehidupan kanak-kanak tersebut.  Ibu yang mengalami masalah kesihatan mental dan desakan hidup adakalanya sukar mengawal  perubahan pemikiran, emosi dan tingkah laku.  


Namun, perlu kita sedari bahawa masalah kesihatan mental tidak dapat dilihat hanya daripada  penilaian mata kasar. Sesuatu yang “trigger” akan menyebabkan tindakan luar kawal berlaku.  Ibu yang mengalami masalah kesihatan mental ini perlu mendapatkan sokongan agresif dan positif daripada ahli keluarga terdekat sebagai rawatan rehabilitasi bagi meringankan beban  yang ditanggung si ibu. 


Bantuan yang boleh diberikan dalam situasi ini adalah dengan pemerkasaan program  keibubapaan dengan menyediakan ibu bapa supaya bersedia sepenuhnya untuk menggalas  tanggungjawab dan memiliki kesabaran serta kefahaman yang tinggi dalam membesarkan  anak-anak.


Ibu bapa juga perlu dibantu dengan pendidikan perkembangan dan pertumbuhan  kanak-kanak supaya ibu bapa mempunyai pandangan yang realistik dalam proses tumbesaran  anak-anak. Selain itu, program perancangan kewangan perlu diperkasakan bagi membantu ibu  bapa merancang kewangan mengikut keperluan keluarga. 


 
6. Daripada kes penderaan kanak-kanak ini, menerusi undang-undang pula bagaimana  dapat ditambah baik atau dipertingkatkan penguatkuasaan? 

Jawapan:  
Dari sudut pelaksanaan undang-undang Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Akta Kanak Kanak 2001 dilihat perlu ditambahbaik  dengan tidak memberikan jaminan kepada pelaku yang  melakukan keganasan atau penderaan kepada kanak-kanak.


Jaminan yang diberikan kepada  pelaku boleh menyebabkan berlaku ancaman terhadap mangsa dan mengganggu prosiding  mahkamah apabila kes ditarik balik. Tindakan ini akan menyebabkan pelaku tidak dihukum  dan tidak disabitkan kesalahan atas pertuduhan ke atasnya. 


 
7. Apa lagi cadangan dan pandangan berkenaan kes seumpama ini yang dirasakan lebih berkesan? 

Jawapan: 
Kes yang berlaku ke atas adik Amir sebagai contoh, bukan satu perkara baru dan boleh dipandang remeh. Ia  melibatkan nyawa dan kemanusiaan. Di sini saya melihat Profesion Kerja Sosial perlu diketengahkan memandangkan profesion ini memberi perkhidmatan kepada pelbagai  kumpulan sasar bagi meningkatkan kefungsian sosial dan kesejahteraan hidup secara holistik. 


Diharapkan pihak kerajaan dapat menyegerakan Rang Undang-Undang Pekerja Sosial agar  pekerja sosial dapat melaksanakan tugas dengan lebih efektif dan kompeten terutamanya isu  yang melibatkan penderaan kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian.  


Masyarakat dan kejiranan setempat perlu lebih peka terhadap persekitaran sekeliling dalam  membantu mengelakkan perkara ini dari terus terjadi. Istilah “jaga tepi kain sendiri” atau  “busybody” adakalanya boleh diketepikan dalam situasi tertentu dan segera membantu mangsa  penderaan sekiranya mendengar tangisan yang berlaku tanpa henti , laungan pertolongan dan  kesakitan kerana ia melibatkan nyawa dan kemanusiaan.  


Pihak kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita Kaluarga dan Masyarakat  (KPWM) dilihat mempunyai keperluan meniliti semula dengan melakukan penambahbaikan  terhadap beberapa bahagian akta sedia ada supaya hukuman yang disediakan ke atas pesalah  dilihat lebih efektif berdasarkan kepada kesalahan yang dilakukan.


Ia memperlihatkan  kesungguhan pihak kerajaan dalam menangani isu yang melibatkan penderaan kanak-kanak. 
 

Must-Watch Video

Advertisement