Rapper dari Singapura, Yung Raja tampil dengan EP pertama yang berjudul MIKE sebagai kejutan kepada para peminat.

MIKE yang mula tersedia pada tengah malam 22 Oktober lalu itu mendapat sentuhan penerbit Flightsch & RIDEM, bakal menyerikan lagi portfolio seni rapper tersebut pada tahun ini.

Single hit Yung Raja, Spice Boy telah berjaya menduduki carta Spotify Viral 50 Singapura dan Malaysia dalam tempoh sehari selepas dilancarkan. Manakala lagunya Mami menjadi sebutan Jimmy Fallon secara langsung di televisyen Amerika Syarikat.

Menurut Yung Raja, projek EP yang mengandungi tiga lagu tersebut adalah luahan jiwanya yang belum pernah dikongsi kepada peminat sebelum ini.

"Projek ini berasal dari sudut jiwa saya yang belum pernah saya terjemahkan di atas kertas," katanya yang berkebolehan menggabungkan Bahasa Inggeris dan Tamil dalam lagu.

Yung Raja juga menyifatkan MIKE sebagai titik penting dalam kerjayanya yang diharapkan menjadi pemangkin untuk beliau terus memajukan dirinya sebagai artis hip hop dwibahasa di Asia Tenggara.

"Ketiga-tiga lagu ini adalah kisah saya, kisah bagaimana saya berusaha untuk terus maju.

"Saya belajar banyak dalam proses membuat projek ini dan tidak pernah merasakan sebebas ini dalam hidup saya, begitu juga dalam pemikiran dan ekspresi saya.

"Begitulah pentinganya meletakkan sesuatu itu pada perasaan kita dan bukannya pada apa yang 'betul' semata-mata," katanya.

MIKE menampilkan lagu yang berjudul sama serta dua lagi yang harus anda dengari.

Yung Raja meninggalkan kata-kata berikut kepada para peminatnya.

"Projek ini sangat istimewa bagi saya, saya dedikasikan ia untuk orang Tamil di seluruh dunia, untuk orang saya, dari orang anda, Shtambi Raja," katanya.

MIKE kini tersedia di semua platform penstriman digital, jangan lepaskan peluang mendengarkannya!

Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!

Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.