Pengarah, pelakon dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim mengakui bahawa dramatis popular, Fattah Amin mempunyai potensi yang sangat besar dalam bidang lakonan.

Menerusi sidang media virtual drama bersiri original GANJIL yang berlangsung baru-baru ini, Yusry berkata, Fattah mampu untuk menonjolkan sisinya yang berbeza jika diberi watak dan naskhah yang bersesuaian.

“Sebelum ini, saya tidak pernah bekerja dengan Fattah. Namun, saya berpendapat bahawa dia mempunyai potensi yang sangat besar dalam bidang lakonan.

A post shared by Yusry Abdul Halim (@yusryabdhalim)


“Dia memerlukan satu projek yang menonjolkan sisi berbezanya kepada orang ramai. Saya tidak bermaksud menidakkan kerja-kerjanya sebelum ini.

“Tetapi, saya yakin, Fattah mampu memberi lebih berbanding apa yang dia pernah lakukan,” ujar Yusry kepada Gempak.

Yusry mengulas mengenai watak dan perwatakan Amry, iaitu watak yang dijayakan oleh Fattah dalam GANJIL.

BACA: Masih Berbisa! Fattah Amin Rangkul Trofi Pelakon Terbaik Di World Film Carnival Singapore 2021

Suami kepada pelakon Lisa Surihani itu menambah, melihat pada prestasi Fattah sepanjang penggambaran drama GANJIL, Yusry yakin bahawa telahannya selama ini adalah tepat.

“Fattah membuktikan yang dia mampu untuk menjayakan watak Amry dengan baik. Seperti yang saya katakan, dia mempunyai potensi dan dia perlu bebaskan diri dia daripada watak-watak yang pernah dia jayakan sebelum ini.

“Saya rasa, Fattah berjaya membawakan watak Amry ini dengan baik,” katanya lagi.

A post shared by Fattah Amin (@fattahaminz)


Dalam pada itu, Yusry turut memuji kualiti kerja dua lagi pelakon GANJIL iaitu Diana Danielle dan Izzue Islam.

“Saya pernah bekerja dengan Diana menerusi filem Magika dan sebagai seorang aktres, dia sentiasa progresif sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan Izzue. Beri sahaja watak apa pun, dia mampu untuk lunaskan tanggungjawab itu dengan sempurna,” kongsi Yusry.

GANJIL berkisar tentang Nabila, lakonan Diana Danielle dan Amry (Fattah Amin) yang berjumpa hanya dalam mimpi. Menerusi perjumpaan dalam mimpi-mimpi itu, hubungan Nabila dan Amry menjadi semakin erat dan kedua-duanya menggunakan pertembungan dalam mimpi mereka untuk menyelesaikan masalah di dunia sebenar yang mereka sedang hadapi.

GANJIL akan mula ditayangkan pada 30 September, dengan dua episod ditayangkan setiap Khamis sehingga 28 Oktober 2021. Penonton boleh menyaksikan siri ini menerusi platform penstriman Viu.