Hiburan
Zainal Abidin Adakan Konsert Sempena 35 Tahun Dalam Industri Seni
Penyanyi dan bekas vokalis kumpulan Haeadwin, Zainal Abidin bakal mengadakan Konsert The Musical Journey of Zainal Abidin- 35th Anniversary pada 25 Februari ini.
Zainal Abidin berkata konsert itu sempena meraikan kerjaya seninya yang lebih tiga dekad itu.
"Sebenarnya konsert berskala besar ini sudah menjadi impian saya sekian lama.
"Ia bakal menyaksikan kembara muzik saya dari usia 15 tahun kemudian menjadi vokalis kumpulan Headwin dan akhirnya bergerak solo.
"Namun saya tidak keseorangan kerana saya akan bersama ahli-ahli kumpulan Headwin yang lain dalam satu segmen khas untuk menyampaikan beberapa lagu popular kami.
"Saya boleh katakan, ini juga adalah acara reunion Headwin," katanya kepada Astro Gempak
Zainal ditemui selepas siaran media konsert tersebut yang diadakan di Hard Rock Cafe, Selasa.
Ahli kumpulan Headwin yang terdiri daripada Zulkif, Nicky Oii, Kudib dan Razak.
Zainal memberitahu dia bakal menyampaikan 17 buah lagu dalam konsert yang berdurasi 2 jam 30 minit itu.
"Konsert ini akan diarahkan oleh Mac Chew sebagai pengarah muzik dan Shirazdeen Karin sebagai pengarah konsert.
"Saya bakal menyanyikan lagu-lagu hit yang terdiri daripada luahan rasa cinta dan sayang sesama manusia dan alam semesta.
"Antara lagu yang akan saya sampaikan dan selalu menjadi permintaan ramai adalah Hijau, Manis, Orak Arek, Puteri, Bongkar, Kau Di Hatiku dan bangak lagi.
"Sementara lagu yang saya akan nyanyi dalam segmen khas bersama kumpulan Headwin adalah Suraya, Hanya Di Radio, Kita Serupa, Segalanya Mungkin, Pelangi dan banyak lagi," katanya lagi.
Konsert yang bakal mengimbas muzik era 80-an itu bakal diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu, 25 Februari ini jam 8.30 malam.
Tiket konsert yang akan diiringi 17 orang pemuzik itu dijual bermula dengan harga RM158 hingga tiket VIP dengan harga RM958.
Teks oleh Syafiqah Jalal
Must-Watch Video