Bekas suami pelakon Zarina Anjoulie, Eilyas Azhar telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada Ahad.

Memetik laporan Sinar Harian, Eilyas bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas itu.

Eilyas ditahan selepas bekas isterinya itu membuat laporan polis pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, tindakan itu dilakukan setelah menerima laporan Zarina mengenai ugutan yang diterima daripada bekas suaminya itu.

"Pelakon itu mendakwa terima pesanan berunsur ugutan daripada bekas suami bertujuan untuk mengaibkannya di media sosial.

"Sehubungan itu pada semalam (Ahad), suspek telah hadir ke IPD untuk dirakam percakapan dan ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya hari ini.

Menurut beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan dalam masa terdekat.

Semalam, pelakon dan model itu berkongsi foto paparan skrin mesej perbualan dengan bekas suaminya itu di mana Zarina bertanya sama ada perlu membayar Eilyas jika mahu diceraikan.

Berdasarkan paparan skrin itu, lelaki itu menjawab dan memberikan harga RM10,000.

A post shared by Zarina Anjoulie (@anjoulielavocah1)





Terdahulu, Zarina dan Eilyas berkahwin pada 17 Julai 2020 di Pejabat Agama Islam Daerah Seremban selepas empat tahun memegang status ibu tunggal.

Menerusi laporan Gempak pada 3 Mei lalu, Zarina telah mengesahkan dirinya kembali janda selepas bercerai kali kedua dengan Eilyas.

BACA: Zarina Anjoulie, Suami Cerai Kali Kedua

Sebelum perkahwinan itu, Zarina pernah mendirikan rumah tangga pada 2015 dan bercerai pada Disember 2016.

Hasil perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan seorang anak lelaki bernama Awangku Gabriel Martin Ezra.