Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO) mengajak anda meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama pada Sabtu, 6 Mei 2023 jam 8.30 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.

Bakal dikemudikan oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose, konsert ini bertemakan Raya Sepanjang Zaman dan merupakan susulan kejayaan konsert Cahaya Aidilfitri yang dipersembahkan pada musim aidilfitri tahun lepas.



Konsert ini juga adalah sebahagian dari keraian ulangtahun ke 25 untuk MPO sejak penubuhannya pada tahun 1998. Ini adalah testimoni MPO dalam kepelbagaian genre muzik persembahannya selain dari klasikal, pop, jazz dan kontemporari.

Untuk konsert raya kali ini, MPO, yang dianggotai 60 pemuzik, akan mempersembahan lagu-lagu raya malar segar yang bakal digubah dalam susunan simfoni orkestra. MPO bakal mengangkat legasi karya seni tempatan ke peringkat yang lebih tinggi melalui interpretasi simfoni hasil gubahan Jenny Chin, Gerard Salonga, Luqman Aziz, Ilham Subri dan Ahmad Muriz sendiri.

Konsert ini bakal menyaksikan kolaborasi unggul MPO dengan biduan-biduanita terunggul yang sinonim dengan lagu-lagu raya. Kami bakal membawa khas Sanisah Huri dari Singapura ke DFP yang akan mendendangkan lagu raya popular beliau bertajuk Bersabarlah Sayang dan Aidilfitri.

Beliau merupakan antara biduanita nusantara terhebat yang mempunyai pengalaman seni selama enam dekad.

Konsert ini juga akan menampilkan Datuk Hail Amir yang cukup sinonim dengan lagu Seloka Hari Raya.

Beliau merupakan biduan yang mempunyai nama yang cukup kukuh di arena seni tanahair selepas merakamkan album sulung pada tahun 1976. Untuk konsert ini, beliau juga akan mempersembahkan lagu Menjelang Hari Raya.

Pastinya peminat-peminat Ziana Zain tidak akan melepaskan peluang menyaksikan beliau berkolaborasi dengan MPO untuk lagu raya popular beliau Indah Di Hari Raya.

Ziana merupakan antara vokalis wanita terunggul yang memulakan langkah di bidang seni pada tahun 1989. Ziana juga bakal menyanyikan lagu Hari Mulia di konsert ini.

Tidak ketinggalan, Bob Yusof akan mempersonakan penonton dengan alunan suara mersiknya melalui lagu-lagu raya melankolik seperti Dari Jauh Ku Mohon Maaf dan Cahaya Di Aidilfitri. Antara penyanyi lelaki terbaik tanahair, beliau pernah menyertai World Championship of Performing Arts di Los Angeles, USA, pada tahun 2009.

MPO dan para artis juga akan mendendangkan medley lagu-lagu raya popular dari M Nasir, Sharifah Aini dan P Ramlee yang pastinya akan menggamit nostalgia indah yang lalu.

Raikan lebaran tahun ini bersama MPO melalui konsert Raya Sepanjang Zaman, hanya di DFP!