Penyanyi Zizi Kirana mendedahkan yang dia bukanlah jenis gemar berkongsi hal peribadi di media sosial, apatah lagi memuat naik hantaran-hantaran mesra bersama suami, Yusuf Bahrin.

Zizi berkata, dia lebih menggemari hidup secara bersederhana tanpa perlu berkongsi secara berlebihan untuk tatapan umum.

“Ketika saya bujang pun, saya memang tak suka kongsi hal-hal peribadi. Memang tak pernah upload apa-apa tentang cinta atau apa sahaja.

“Bila dah kahwin ni pun sama. Tak ada kongsi tentang kemesraan kami. Kalau nak upload pun, kami upload hal-hal biasa sahaja, yang tidak menjengkelkan. Simple life is better,” katanya kepada Gempak.

Melanjutkan bicara mengenai alam perkahwinan, Zizi berkata, lumrah sebagai pasangan suami isteri, pertelagahan pendapat itu pasti ada.

“Tapi gaduh-gaduh manja sahaja. Contoh kalau berbincang nak makan mana. Tak ada gaduh besar pun.

“Yusuf ni seorang yang sensitif. Tapi kalaulah saya merajuk, dia yang akan pujuk dulu,” katanya lagi.

Ditanya mengenai isu ciapan tentang isu rumah tangga yang dikongsikan beberapa minggu lalu, Zizi yang pernah menjawab hal tersebut dengan media sekali lagi menegaskan yang ciapan berkenaan tidak ditujukan pada sesiapa.

“Tak tuju pada sesiapa. Saya sedang menonton siri Mendua yang menampilkan watak utamanya bermain kayu tiga. Sebab itu saya tweet. Tak sangka pula orang salah anggap,” katanya lagi.

Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.