Skip to main content

Filem

3 Hajat Buat Zul Huzaimy Terkejut, Tak Sangka Kena Galas Dua Peranan Serentak - “Ketika Diberi Penerangan Hampir 40 Minit, Rupanya Datuk Norman…”

Cabaran Zul Huzaimy

Pelakon dan pengarah, Zul Huzaimy mengakui pengalaman menggalas dua tanggungjawab serentak dalam filem terbarunya, 3 Hajat, bukanlah sesuatu yang mudah.

Menurut Zul, pada awalnya dia hanya hadir sebagai pelakon namun tidak menyangka dirinya turut ditawarkan sebagai pengarah.

Advertisement

"Pada awal pertemuan, saya difahamkan oleh pengurus saya untuk berlakon, tak sangka ketika saya diberi penerangan hampir 40 minit, rupanya Datuk Norman kata saya pengarah juga. Dalam fikiran saya dah lain ketika itu.

“Cerita ini tidak ada aksi perang, lawan atau letupan seperti drama yang saya buat sebelum ini dengan abang Eman. Yang saya nampak satu sahaja, cerita ini betul-betul halus dan makan dalam. Itu yang membuatkan saya rasa tercabar," ujarnya.

Zul berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Tayangan Perdana 3 Hajat baru-baru ini.

Dalam masa sama, Zul juga turut berkongsi keberaniannya memilih pendekatan filem meskipun berdepan pelbagai risiko dan persoalan daripada sesetengah pihak.

Namun, keberanian itu akhirnya membuahkan hasil apabila karya arahannya mendapat sambutan positif.

"Kebanyakan telemovie yang saya buat adalah untuk filem ke TV. Tentang hala tuju dan 'camera work' saya lebih memilih kepada pendekatan filem. 

"Ada juga penerbit yang menyoalkan perkara tersebut kerana bayarannya hanya setakat itu sahaja tetapi saya cakap tidak mengapa, ini adalah untuk diri saya, untuk portfolio saya. 

"Hantar ke stesen... Alhamdulillah, stesen siap tambah lagi bayaran. Jadi, boleh nampak di situ bagaimana saya latih diri saya ke arah filem," jelasnya.

Selain Zul, 3 Hajat menampilkan barisan pelakon hebat iaitu Eman Manan, Amerul Affendi, Iman Aneesa dan ramai lagi.

Filem penuh emosi ini bakal menemui penonton di 70 pawagam seluruh negara bermula 2 Oktober 2025, menjanjikan sebuah pengalaman sinematik sarat dengan kasih sayang, penyesalan, pengharapan serta nilai kekeluargaan.

Must-Watch Video

Advertisement