Sekilas
- Iqbal Zulkefli berkongsi rasa sedih kerana tidak pernah ada gambar lengkap bersama kelapan-lapan adik-beradiknya walaupun sudah berusia 31 tahun.
- Dia menegaskan semua adik-beradik itu adalah daripada satu ibu dan satu ayah, namun tiada peluang bergambar bersama terutama semasa Hari Raya.
- Iqbal juga mendedahkan rasa janggal apabila melihat ibu bapanya bergurau senda atau berpegang tangan, dan bertanya jika ada yang merasakan perkara sama.
Pempengaruh media sosial dan usahawan, Iqbal Zulkefli berkongsi luahan sedih apabila dia tidak pernah memiliki gambar lengkap bersama kelapan-lapan adik-beradiknya.
Menerusi perkongsian di Threads, Iqbal berkata meskipun usianya sudah mencecah 31 tahun, dia dan adik-beradiknya tidak pernah berpeluang bergambar bersama walaupun semasa perayaan Hari Raya.
“31 tahun saya hidup, saya baru sedar saya tiada sekeping pun gambar lengkap bersama keluarga yang merangkumi 8 adik-beradik, walaupun ketika raya. Semua 8 beradik ini daripada satu ibu dan satu ayah,” tulisnya.
Dalam masa sama, Iqbal turut mendedahkan bahawa setiap kali melihat pasangan ibu bapa bergurau atau berpegang tangan, dia berasa janggal dan tidak biasa.
“Sejujurnya, apabila tengok pasangan ibu ayah bergurau senda, berpegang tangan, saya rasa janggal. Ada tak di sini yang rasa sama macam saya? Sekurang-kurangnya saya tak keseorangan,” ujarnya.