Sekilas
- Amyza Aznan berkongsi suaminya, Khairil Izhar, kini menunjukkan perkembangan positif di Unit Rawatan Jantung Hospital Kuala Lumpur selepas rawatan intensif.
- Khairil masih ditidurkan dan bergantung sedikit pada tiub pernafasan, namun sudah boleh membuka mata dan menggerakkan tangan.
- Amyza menguruskan jadual kerja dan rawatan anak sambil memastikan suaminya dijaga sepenuhnya oleh doktor dan jururawat di hospital.
Pelakon, Amyza Aznan berkongsi keadaan terkini kesihatan suaminya, Khairil Izhar Mohd Nazir yang telah menerima rawatan di Unit Rawatan Jantung (CUU) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 23 Ogos lalu.
Amyza, 50 berkata suaminya kini telah menunjukkan perkembangan positif apabila suaminya tidak terlalu bergantung sepenuhnya pada tiub pernafasan sehingga ada pergerakan tubuh badan.
“Dia masih ditidurkan lagi cuma doktor dah extubate (proses mencabut tiub pernafasan) dia sedikit. Jadi, dia boleh buka mata dan ada pergerakan tangan cuma doktor tak kasi extubate seratus peratus sebab jantung dia lemah,”katanya kepada Gempak.
Amyza berkata demikian ketika ditemui selepas tamat membuat persembahan di minggu kedua Kilauan Emas Selebriti (KES) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada Sabtu.
Dalam pada itu, Amyza memaklumkan suaminya sedang dibawah jagaan pihak hospital dan pelawat tidak dibenarkan menjaganya di wad.
“Dia belum di wad biasa dan masih di CUU (unit rawatan jantung) Hospital Kuala Lumpur. Sekarang dia memang di bawah jagaan doktor dan nurse sepenuhnya.
“Dekat ICU tak boleh ada orang jaga, kalau orang datang pun tengah hari dan petang. Nurse yang mandikan dan tukar pampers dia,”ujarnya.
Dalam masa sama, Amyza berkongsi dia perlu bijak membahagikan masa memandangkan dia mempunyai jadual kerja yang padat dan tanggungjawab menguruskan rawatan anak keduanya, Adrian Adam.
“Rutin saya sekarang banyak menyanyi dan pergi ke hospital. Jadual saya terlalu padat sebab nak buat rawatan Ian lagi, fokus kat rumah dan kerja-kerja lain.
“Kilauan Emas Selebriti (KES) ini tiada masalah sebab kelas pun sekejap sahaja. Banyak urusan lain yang mengambil masa yang banyak. Jadi, tak berkesempatan sangat nak lari ke hospital. Lagipun, di hospital sudah ada doktor dan nurse,”kongsinya.
Untuk rekod, Amyza pernah memaklumkan bahawa dia terpaksa membuat keputusan sukar bagi menyelamatkan nyawa suaminya, Khairil Izhar Mohd Nazir selepas dia ditidurkan akibat sesak nafas pasa Disember 2023.
Khairil juga pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan swasta pada Disember 2017 akibat serangan jantung.
Terbaharu, Khairil dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang ditidurkan di Hospital Kuala Lumpur pada petang Ahad lalu.