Skip to main content

Viral

Ada Tulisan Tangan Individu Lain Dalam Buku Zara Qairina

buku_zara

Pemeriksa Dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh mendedahkan sebuah buku yang mengandungi tulisan tangan orang lain dalam buku Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditulis bersama dengan seorang individu lain.

Ketika prosiding inkues bersambung petang ini, beliau memberitahu Mahkamah Koroner bahawa muka surat pertama buku yang ditanda sebagai 'W3' itu mengandungi dua jenis tulisan tangan.

Advertisement

"Ada dua gaya tulisan yang berbeza (di muka pertama buku itu). Ada dua nama sebagai pemilik di muka surat berkenaan," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, pada prosiding inkues semalam.

Nurul Atiqah memberitahu perkara itu kepada mahkamah selepas ditanya Pegawai Pengendali Inkues, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dana Arabi Wazani sama ada buku itu ditulis oleh dua penulis.

Saksi kedua inkues kematian Allahyarham Zara Qairina itu juga memberitahu mahkamah bahawa penulis buku itu dan seorang lagi penulis lain menulis bersilih ganti pada tarikh yang berbeza.

"Tulisan tangan yang dipertikaikan di W3 pada muka surat tiga hingga enam, 15 hingga 24, 38 hingga 45, 47 hingga 57, 65 hingga 72 dan 90 hingga 103 menunjukkan persamaan ketara yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan contoh (ditandakan sebagai) 'SA'.

"Sehubungan itu, saya berpendapat bahawa tulisan tangan yang dipertikaikan adalah ditulis oleh penulis contoh.

"Tulisan tangan yang dipertikaikan dalam W3 pada muka surat dua, tujuh hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89 menunjukkan perbezaan ketara dalam ciri-ciri tulisan tangan daripada tulisan tangan contoh 'SA'.

"Oleh itu, saya berpendapat bahawa tulisan tangan yang dipertikaikan bukan ditulis oleh penulis contoh," katanya.

Nurul Atiqah berkata, beliau membuat perbandingan berdasarkan tulisan tangan contoh atas nama Zara Qairina di sebuah buku latihan dan dua buku teks sekolah.

Mahkamah Koroner turut menerima bahan bukti lain termasuk muka surat dengan tulisan tangan yang dibuktikan milik Zara Qairina.

Nurul Atiqah memeriksa sebanyak 15 helaian kertas, empat buku nota dan dua buku teks yang mengandungi tulisan tangan bagi menentukan sama ada tulisan terbabit milik arwah Zara Qairina atau bukan.

Beliau yang bertugas sebagai Pemeriksa Dokumen di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya adalah saksi kedua inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Ahli kimia berusia 44 tahun itu mempunyai pengalaman kerja selama 21 tahun sebagai pegawai sains di Jabatan Kimia Malaysia.

Tugas beliau ialah menerima kes dan menyediakan laporan kimia serta menjalankan pemeriksaan dokumen yang dipertikaikan membabitkan pemeriksaan seperti tandatangan, tulisan tangan, tulisan taip, pindaan, proses percetakan, kertas dan dakwat.

Sumber: Harian Metro

Must-Watch Video

Advertisement