Sekilas
- Azza Elite memberi sokongan dan nasihat kepada Marissa Dania supaya segera mengambil tindakan dalam isu rumah tangganya yang tular.
- Azza menasihati Marissa untuk mencari kebahagiaan sendiri dan yakin ramai yang menyayanginya serta mendoakan yang terbaik untuknya.
- Isu rumah tangga Marissa dan Aslam masih berlanjutan selepas perkahwinan mereka di Thailand, dengan Aslam memilih untuk tidak mengulas lanjut selepas prosiding mahkamah.
Penyanyi, Azza Elite tampil meninggalkan komen pada sebuah hantaran pempengaruh media sosial, Marissa Dania berhubung isu rumah tangganya yang tular, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Threads, Azza menggesa Marissa untuk melakukan tindakan segera selepas lama terbelenggu dalam masalah rumah tangganya.
"Adik tolong mulakan langkah. Saya doa adik dikurniakan kemudahan dalam menangani isu ini. Saya tahu adik bijak dan semakin nampak. Jadi, kali ini buatlah sesuatu," tulisnya.
Ahli kumpulan Elite itu turut menasihatinya untuk mencari kebahagiaannya sendiri sambil menegaskan masih ramai lagi yang menyayangi anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim itu.
"Carilah kebahagiaan awak sendiri. Semoga Allah permudahkan segala urusan awak. Kalau jalan itu lambat, berlarilah adik.
"Semua orang nak adik bahagia. Adik kena tahu perkara itu. Semua orang sayang adik . Adik dah buat satu benda baik untuk orang. Pengorbanan adik itu takkan sia sia . Allah akan ganti yang lebih baik," ujarnya.
Sebelum ini, Marissa mendakwa isu lama terus dibangkitkan oleh pihak tertentu, malah menegaskan perkara-perkara yang berlaku sebelum perkahwinan tidak seharusnya jadi isu.
Sekadar rekod, Aslam dilaporkan memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung kemelut rumah tangganya sebaik selesai prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tengah hari semalam.
Aslam hanya memberikan kenyataan ringkas tanpa memperincikan situasi melibatkan dia dan isterinya.
Terdahulu, pasangan tersebut mencetuskan perhatian ramai apabila dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 ketika isteri pertama Aslam, Misya Mazlan sedang menunaikan umrah.
Perkahwinan itu turut didakwa berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa termasuk ibu bapanya, Norman Hakim dan Abby Abadi.
Pada Mei 2025, pasangan itu hadir ke mahkamah sama bagi tujuan pengesahan perkahwinan, namun proses berkaitan masih berlanjutan sehingga kini.
Sumber: Threads