Penyanyi dan penulis lirik, Daiyan Trisha melakar sejarah peribadi apabila berjaya meraih anugerah pertamanya iaitu Lagu Inggeris Tempatan Terbaik di Anugerah Industri Muzik 24 (AIM24)
Menurut Daiyan, pencapaian itu bukan sahaja satu penghormatan besar buat dirinya malah menjadi bukti kesabarannya sepanjang 12 tahun meniti perjalanan seni.
Advertisement
“12 tahun saya dalam industri ini adalah anugerah pertama saya sebagai penyanyi dan penulis lirik, terima kasih kepada RIM, AIM. Terima kasih kepada peminat dan pihak pengurusan saya,” katanya penuh terharu.
Daiyan turut berkongsi rasa syukur kerana kejayaan tersebut tidak hadir tanpa sokongan orang sekeliling, khususnya peminat setia yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang kerjayanya.
Lebih bermakna, Daiyan mengambil kesempatan untuk mendedikasikan kemenangannya kepada artis-artis indie di luar sana.
“Saya juga mahu dedikasikan anugerah ini kepada artis-artis indie, sebab saya tahu bagaimana susahnya berdiri atas usaha sendiri dan untuk keluarga saya,” tambahnya.
Daiyan berjaya menewaskan pesaing sengit seperti B.D.T nyanyian Jaclyn Victor, Drip (Dolla), The Best (Ernie Zakri) dan Old Love (Yuji dan Putri Dahlia).