Sekilas
- Jabatan Pendaftaran Negara membenarkan warna rambut pada kad pengenalan baharu jika warna tersebut hampir dengan warna asal atau tidak terlalu ketara, termasuk warna uban dan warna mengikut keturunan.
- Pemakaian tudung ketika mengambil gambar MyKad perlu berwarna gelap supaya kelihatan jelas di latar belakang putih, manakala kad lama dengan imej berganda tidak perlu ditukar.
- Kad pengenalan baharu mempunyai 53 ciri keselamatan termasuk kod QR yang hanya boleh dibaca dengan alat khas dan tiada lagi ciri Touch ’n Go.
Pengarah Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Muhammad Asraf Sukardi tampil menjelaskan mengenai isu rambut berwarna pada kad pengenalan baharu yang tular baru-baru ini.
Menerusi perkongsian temu bual di sebuah stesen radio, Asraf berkata rambut berwarna dibenarkan dalam keadaan tertentu seperti warna uban atau warna yang tidak terlalu ketara.
Malah, warna rambut yang mengikut keturunan seseorang juga dibenarkan selagi tidak terlalu keterlaluan.
“Sebenarnya, kita membenarkan warna rambut yang hampir dengan warna asal, termasuk warna uban atau warna yang tidak terlalu ketara.
“Contohnya, jika seseorang itu berketurunan Eurasian, warna rambut yang bersesuaian masih dibenarkan dan tidak menjadi masalah. Namun, bukanlah seseorang yang berketurunan Jawa mempunyai rambut blonde sepenuhnya.
“Kita lebih melihat kepada warna yang neutral dan tidak terlalu menonjol.
Dalam masa sama, Asraf turut menjelaskan mengenai pemakaian tudung ketika mengambil gambar untuk kad pengenalan baharu.
“Bagi tudung pula, kita tidak cakap berwarna hitam tetapi kita cakap berwarna gelap.
“Ini kerana asalnya latar belakang berwarna putih. Kalau dia memakai tudung yang cerah, kita tidak akan nampak tudung tersebut di dalam gambar.
“Kalau dia masih menggunakan kad pengenalan yang ada dual imej, iaitu yang mempunyai gambar ‘ghost image’, tidak perlu tukar,” ujarnya.
Katanya lagi, ciri keselamatan pada kad pengenalan baharu turut dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan dan ketulenan dokumen tersebut.
“Kalau dulu kita ada 23 ciri keselamatan, sekarang kita ada 53.
“Kod QR di belakang itu tidak boleh dibaca oleh mana-mana telefon pintar. Kita hanya boleh menggunakan alat dengan aplikasi yang dibenarkan JPN untuk membaca dokumen tersebut.
“Kita akan verifikasi muka untuk mengecam sama ada pemegang MyKad itu adalah orang yang sebenar.
“Ciri-ciri Touch ’n Go juga sudah tiada dalam kad,” katanya.