Skip to main content

Berita

Aktivis Global Sumud Flotilla Dijangka Tiba Di Tanah Air Pada Selasa

Aktivis Sumud

Sumud Nusantara Command Center mengesahkan kepulangan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang dijangka tiba di KLIA pada Selasa, 7 Oktober, jam 9:45 malam.

Menerusi jemputan media yang dihantar ke Astro AWANI, Majlis Sambutan Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia akan berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Advertisement

Kesemua 23 aktivis Sumud Nusantara Malaysia kini berada di Istanbul bagi melalui beberapa proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia.

Pada Sabtu, kesemua 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza, dibebaskan.

Mereka dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di Israel sebelum menuju ke Istanbul, Turkiye.

Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat untuk menganjurkan sebuah himpunan khas untuk meraikan kepulangan para wira dan wirawati GSF.

Menerusi kenyataan, Anwar menyifatkan 23 sukarelawan merupakan lambang keberanian rakyat Malaysia.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Keselamatan Presiden Turkiye, Dr Ibrahim Khalil, atas jasa memastikan keselamatan dan kesihatan sukarelawan Malaysia berada dalam keadaan baik sepanjang proses pembebasan.

Beliau turut meminta para sukarelawan menulis nota penghargaan kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, atas usaha membantu membawa keluar mereka dari tahanan Israel dan memberi perlindungan sementara di Istanbul.


Sumber: Astro AWANI 

Must-Watch Video

Advertisement