Sekilas
- Watie Hanifiah berkongsi perbualan bersama anak-anaknya mengenai kontroversi yang melibatkan dirinya dan suami, Shuib.
- Anak-anaknya, Thalita dan Matin, menunjukkan sikap matang dengan memberi nasihat kepada rakan-rakan supaya tidak membuat andaian atau spekulasi tanpa fakta.
- Matin menasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan apa yang dibaca di media sosial terutama yang melibatkan keluarga mereka.
Isteri kepada pelawak, Shuib iaitu Watie Hanifiah berkongsi perbualan menyentuh hati bersama anak-anaknya ketika sedang meluangkan masa bersama di dalam bilik tidurnya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Watie berkata Thalita dan Matin menerima pertanyaan mengenai kontroversi yang tular melibatkan dirinya dan suami daripada guru-guru dan rakan-rakan mereka di sekolah.
“Hari ini ada cikgu yang tanya dekat kami keadaan ayah dan mummy. Ada juga kawan-kawan yang bertanya sama ada betul ke mummy dan ayah ada hubungan ketika ibu masih hidup lagi,”tulisnya.
Meskipun sedih mendengar perkongsian tersebut, namun Watie amat gembira dan terharu kerana anak-anaknya amat memahami dan matang dalam berdepan perkara tersebut.
“Tersenyum dalam kesedihan sebab jawapan jawapan yang anak-anak saya bagi betul-betul buat saya bangga dan bersyukur mempunyai anak yang sebegini.
“Terima kasih anak-anak. Di waktu dan ketika ini tiada apa yang lebih penting dalam dunia ini selain dari kekuatan dan pandangan,”katanya.
Katanya, menurut Thalita, dia telah berpesan pada rakan-rakannya untuk menjadikan kes tersebut sebagai pengajaran buat orang ramai dalam menjaga tutur kata agar tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi.
“Saya cakap dengan mereka sebenarnya ini bukan ujian mummy dan ayah saya seorang tetapi ini pengajaran untuk kita juga supaya kita semua kena jaga mulut, jaga penulisan, jangan pernah bercakap pasal orang yang mungkin akan menjadi fitnah,”kata Thalita.
Malah, Matin yang berusia 11 tahun itu turut berkongsi nasihat yang dititipkan buat rakan-rakannya untuk tidak terlalu cepat percaya dengan segala perkara yang dikongsikan di media sosial terutama jika melibatkan keluarganya.
“Saya pun cakap selepas ini apa yang dalam media sosial itu, kalau kita terbaca jangan terus percaya dan tuduh sebab benda itu berlaku dekat dalam keluarga saya,”ujar Matin pula.