Skip to main content

Jenayah

Anak Pendiam Didakwa Tikam Rakan Sekolah, Hati Bapa Hancur - “Saya Tak Tahu Bagaimana Nak Berdepan Keluarga Mangsa”

Anak Pendiam Didakwa Tikam Rakan Sekolah, Hati Bapa Hancur

Tragedi di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama baru-baru ini benar-benar menggegarkan hati ramai.

Dalam kejadian menyayat hati itu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan mati dipercayai akibat ditikam oleh rakan sekolahnya sendiri, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.

Advertisement

Lebih memilukan, bapa kepada pelajar lelaki terbabit meluahkan rasa hancur dan tidak menyangka anaknya mampu melakukan perkara sedemikian.

Dalam temu bual bersama akhbar China Press, lelaki berusia 40 tahun itu berkata, hatinya remuk dengan apa yang berlaku.

“Saya tahu apa sahaja yang saya katakan sekarang tidak memberi sebarang makna. Tidak kira apa yang saya lakukan, ia tidak akan mengembalikan anak perempuan mereka.

"Saya tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan mereka,” katanya dalam nada sebak.

Lelaki yang enggan namanya didedahkan menggambarkan anaknya sebagai seorang yang pendiam dan introvert.

Katanya, anaknya tidak pernah menunjukkan sebarang tanda atau perlakuan luar biasa sebelum ini.

“Hari itu bermula seperti biasa. Saya menghantar dia ke sekolah seperti selalu. Tiada apa-apa yang pelik pun,” ujarnya.

Menurutnya lagi, walaupun prestasi akademik anaknya agak lemah dan kurang memberi perhatian dalam kelas, dia tidak pernah menimbulkan masalah.

“Anak saya bukan jenis yang suka cari gaduh. Dia senyap, lebih suka menyendiri.

“Kalau ada apa-apa berlaku di sekolah sama ada dia dibuli atau tidak, dia takkan beritahu saya,” katanya.

Bapa itu turut mengakui, sebelum kejadian, dia tidak pernah mendengar nama mangsa disebut oleh anaknya.

Kejadian tragis ini, katanya, memberi tamparan hebat buat dirinya sebagai seorang ayah.

“Saya sedar tiada sebarang permohonan maaf yang cukup untuk menebus apa yang sudah berlaku.
"Hati saya benar-benar hancur,” luahnya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan pelajar lelaki berusia 14 tahun itu telah ditahan bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman di bahagian badan.

Kes tragis ini bukan sahaja meninggalkan duka mendalam buat keluarga mangsa, tetapi turut menghantui hati seorang bapa yang kini bergelut dengan kenyataan bahawa anak yang dibesarkannya telah meragut nyawa insan lain.

Sumber: Sinarplus menerusi Berita Harian

Must-Watch Video

Advertisement