Sekilas
- Farah Ahmad menegaskan anaknya, Mhia Firdaus, tidak menggunakan pengaruh keluarga selepas tercalon di Anugerah Festival Filem Golden Horse ke-63.
- Mhia belajar lakonan secara asas dan berusaha mendalami watak, terutama dalam membawa watak sedih dengan pendekatan 'rasa dan fikir'.
- Filem SAYANG SAYANG yang dibintangi Mhia akan ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober dan Malaysia pada 5 November, mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu mencari identiti dan impian mereka.
Pelakon, Farah Ahmad tidak mahu anaknya, Mhia Firdaus dilabel sebagai ‘nepo baby’ atau menggunakan pengaruh keluarga selepas tercalon di Anugerah Festival Filem Golden Horse ke-63.
Menerusi perkongsian di Threads, Farah berkata dia hanya mengajar perkara yang asas sahaja pada anaknya berbanding dengan pelajar yang diajarnya yang sangat terperinci.
“Untunglah sebab latar belakang keluarga. Yang selalu diperkatakan bagi Nepo baby. Untung lagi pelajar aku bila belajar lakonan kita mengajar A-Z terangkan itu ini sampai faham, itu pun ada yang tak faham,”tulisnya.
Mengimbau kembali pembabitan awal anaknya di dalam industri, Farah berkata Mhia pernah bertanya padanya bagaimana untuk membawa berlakon watak sedih.
Farah bagaimanapun menjawab pertanyaan tersebut dengan jawapan yang singkat iaitu ‘Rasa dan Fikir’.
Menurutnya, sejak dari itu dia melihat anaknya sentiasa berusaha untuk mendalami watak sedih dan cuba mengeluarkan air mata,
“Anak aku? Ingat lagi masa kecil, Mhia pernah tanya saya macam mana nak berlakon nangis. Aku jawab rasa dan fikir. Itu sahaja jawapan aku.
“Dalam hati, tak tahu apa anak aku fikir. Yang tahu kadang-kadang nampaklah si Mhia cuba berlakon nangis. Aku biarkan sahaja dia tahu macam mana mekanisma badan dia untuk faham apa itu rasa dan bukanlah berlakon semata-mata,”ujarnya.
Sebelum ini, Mhia meraih pencalonan di Anugerah Festival Filem Golden Horse ke-63 bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem yang dibintanginya iaitu SAYANG SAYANG.
Filem SAYANG SAYANG akan ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober dan di Malaysia pada 5 November ini.
Selain Mhia dan Farah, filem arahan Tang Hsiang-Chu itu menghimpunkan lebih seratus pelakon dan penggiat filem dari Malaysia, Taiwan dan India, termasuk pelakon Taiwan, Lee Lee-Zen dan pelakon meningkat naik, Sasha Tang.
Sementara itu, pelakon Malaysia pula terdiri daripada Amir Ahnaf, Khir Rahman, Jo Kukathas, Nandagopall Mohan dan ramai lagi.
Sinopsis
SAYANG SAYANG mengisahkan perjalanan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza, Ajay, Mina dan San San, yang sedang mencari identiti, impian dan tempat mereka dalam dunia.
Ikatan keluarga mereka turut terjalin menerusi laut, daratan, dan kasih sayang sesama mereka, sekali gus mengarang sebuah simfoni kehidupan yang menyentuh hati.