Pengasas pengasas produk ANAS Cosmetics, Anas Zahrin terus cakna dalam membantu mereka yang dalam kesusahan tidak kira di luar atau dalam negara.
Seiring ledakan gelombang Global Sumud Flotilla, Anas yang memiliki pengikut ramai di media sosial termasuk di TikTok (3.6 juta) dan Instagram (834,000) terpanggil membantu rakyat Palestin di Gaza dengan menyerahkan sumbangan cek RM50,000 menerusi Persatuan Cinta Gaza Malaysia.
Advertisement
Ia juga serentak dengan kejayaan mega jualan lipmatte jenamanya yang berjaya terjual 1 Juta di platform beli belah terkenal TikTok.
“Secara peribadi pun saya pernah sumbangkan kepada rakyat Gaza. Jadi kali ini ia jadi lebih bermakna kerana ia dibuat atas jenama, ANAS Cosmetics dan tentunya pembeli dan peminat jenama kami.
“Bererti jumlah sumbangan RM50,000 ini juga datangnya merangkumi hasil daripada pembelian lipmatte mereka,” katanya.
Anas berkata, usaha berkenaan tidak akan terhenti di situ saja.
“Sumbangan berkenaan juga sebagai satu usaha menghargai penyokong jenama kosmetik kami. Ia umpama ‘give back’ atau misi memberi kembali kepada yang memerlukan.
“Insya-Allah bulan seterusnya, usaha murni ini berkemungkinan diteruskan serta disalurkan menerusi perbadanan kebajikan dan kemanusiaan lain.
“Barangkali boleh disalurkan ke Yayasan Nurjiwa milik Datuk Seri Siti Nurhaliza dan sebagainya. Tentunya bantuan saya untuk mereka di dalam negara juga akan diimbangi, tambahnya.
Dalam pada itu, Anas juga menyeru mana-mana usahawan atau pemilik jenama produk lain turut mengambil langkah sama membantu mereka memerlukan.
“Saya pasti, usaha dan cetusan ini seharusnya dipanjangkan juga kepada ‘founder’ produk yang lain. Saya yakin, golongan berniaga seperti kami ini bukan tidak cakna.
“Tapi apabila ada hal sebegini yang diwar-warkan, Insya-Allah akan ada yang ambil inisiatif melakukan perkara sama. Tidak kira betapa kecil atau besar sumbangan itu, ia akan jadi bermakna buat mereka termasuklah rakyat Palestin,” ujarnya.
Sebagai rekod, jenama ANAS Cosmetics mula dilancarkan pada Ogos 2017 dan terus berkembang maju hingga kini.