Skip to main content

Berita

“Arwah Keluar Beli Buku Teks Matematik Anak” - Isteri Mangsa Maut Dirempuh Pemandu Mabuk

IMG 7936

Sekilas

  • Amirul Hafiz Omar, 33, maut selepas motosikalnya dirempuh pemandu mabuk ketika dalam perjalanan membeli buku teks Matematik untuk anak sulungnya di Klang.
  • Isterinya, Nor Nadia Abdul Majid, berkongsi bahawa arwah bekerja dua kerja demi keluarga dan sering berpesan supaya dia kuat jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
  • Jenazah Allahyarham dikebumikan di Kampung Repoh, Batu Kurau, meninggalkan tiga anak berusia 9, 7, dan 2 tahun.

“Papa keluar dulu, abang long nak sekolah, tak ada buku...”

Itu kata-kata terakhir Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, ketika keluar menaiki motosikal untuk membeli buku teks Matematik anaknya sebelum maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat dekat Klang, Ahad lalu.

Isterinya, Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, arwah sudah beberapa hari menyatakan hasrat untuk membeli buku tersebut kerana bimbang anak sulung mereka yang berusia sembilan tahun tidak dapat mengikuti pembelajaran di sekolah.

Menurutnya, pada hari kejadian, arwah memaklumkan mahu ke Seksyen 19, Shah Alam untuk mendapatkan buku berkenaan.

“Dia kata nak pergi beli buku Matematik abang long sebab buku itu hilang. Dia risau anak tak boleh belajar.

“Dia memang dah beberapa hari sebut nak pergi beli,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di kediaman keluarga di Kampung Repoh, Batu Kurau pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, Amirul Hafiz maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an, datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.

Siasatan awal polis mendapati pemandu berkenaan memotong beberapa kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa, menyebabkan mangsa tercampak ke atas kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Nor Nadia berkata, komunikasi terakhir mereka berlaku sekitar jam 11.14 pagi apabila beliau menghubungi arwah mengenai barangan yang dihantar ke rumah.

“Dia jawab lampin pakai buang anak dah sampai dan ada dalam bilik. Itu kali terakhir saya dengar suara dia.

“Lebih kurang enam minit selepas itu, saya dapat panggilan polis beritahu suami saya dah tak ada,” katanya pilu.

Menurut Nadia, arwah merupakan seorang suami yang kuat bekerja demi keluarga dengan melakukan dua pekerjaan.

“Siang dia kerja di gudang, malam buat penghantaran. Semua untuk kami dan anak-anak,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa arwah seakan-akan mengetahui masa pemergiannya apabila kerap berpesan supaya dirinya kuat menghadapi dugaan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Dia pernah cakap pada saya dalam suara paling tenang, kalau jadi apa-apa, dia minta saya balik kampung. Rumah sedia ada dibuat sewa,” katanya.

Jenazah Amirul Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau, sekitar jam 12 malam.

Allahyarham meninggalkan tiga cahaya mata, iaitu Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7; dan Nur Humaira, 2 tahun.

Sumber: Sinar Harian

Anda mungkin berminat dengan

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

My Ballerine Jenny Comfy Sandals

My Ballerine Jenny Comfy Sandals

POH KONG 999.9 Pure Yellow Gold 1/4 Dinar

POH KONG 999.9 Pure Yellow Gold 1/4 Dinar

[medicube official] PDRN Pink Serum Mist | Serum Semburan | Keanjalan | Penghalang Kulit | Glutathione Peptida Niacinami

[medicube official] PDRN Pink Serum Mist | Serum Semburan | Keanjalan | Penghalang Kulit | Glutathione Peptida Niacinami

HABIB Songket Collection

HABIB Songket Collection

Must-Watch Video

Advertisement