Sekilas
- Ahmad Aslam telah melafazkan cerai dan rujuk terhadap isteri keduanya, Marissa Dania Hakim, sebanyak dua kali antara September 2024 hingga Jun 2025.
- Proses pengesahan cerai dan rujuk menjadi rumit kerana tiada sijil nikah rasmi, walaupun mereka bernikah di Songkhla, Thailand pada Disember 2023.
- Peguam syarie menasihatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur undang-undang dalam urusan perkahwinan dan perceraian bagi mengelakkan komplikasi di kemudian hari.
Pempengaruh media sosial, Ahmad Aslam didakwa telah melafazkan dua kali cerai dan rujuk terhadap isteri keduanya, Marissa Dania Hakim.
Menurut peguam syarie yang mewakilinya, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, Aslam melafazkan lafaz cerai dan rujuk terhadap Marissa sebanyak dua kali iaitu pada September 2024 dan kembali rujuk pada bulan sama.
Aslam kemudian melafazkan cerai buat kali kedua pada April 2025 dan pasangan itu difahamkan kembali rujuk pada Jun.
“Ada lafaz cerai dan ada juga lafaz rujuk yang dibuat di luar mahkamah. Kami telah memfailkan pengesahan cerai dan rujuk beberapa hari sebelum menyambut 1 Syawal.
“Prosiding hari ini adalah bagi menentukan status sebenar mereka, sama ada masih lagi suami isteri yang sah ataupun sebaliknya,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Yaser turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi prosedur undang-undang dalam urusan perkahwinan dan perceraian.
“Nasihat saya, kalau nak berkahwin, berkahwinlah dengan betul. Lelaki perlu bersikap gentleman, datang ke mahkamah dan ikut saluran yang sepatutnya. Proses di mahkamah sebenarnya tidaklah sukar, asalkan kita dapat kemukakan bukti dan keterangan yang lengkap.
“Tetapi apabila ada perkara yang cuba disembunyikan, seperti tidak memaklumkan kepada isteri pertama, ia akan menyukarkan keadaan di kemudian hari,” ujarnya.
Tambahnya lagi, proses pengesahan menjadi lebih rumit berikutan ketiadaan salinan sijil nikah pasangan tersebut.
“Proses ini agak panjang dan merumitkan kerana mereka tidak mempunyai salinan nikah. Permohonan difailkan tanpa dokumen tersebut, jadi kami juga sedang berusaha mendapatkan salinan sah daripada pihak JAWI bagi mempercepatkan urusan.
“Apa yang berlaku sebelum ini, mereka sah bernikah di luar negara. Perkara itu dibenarkan, namun sijil nikah masih belum diperoleh,” jelasnya.
Untuk rekod, Marissa Dania merupakan isteri kedua Aslam selepas mereka bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Aslam sebelum ini mendirikan rumah tangga bersama isteri pertama, Umisya Mazlan pada Julai 2020.
Pasangan itu pernah bercerai pada September 2023 sebelum kembali rujuk dalam tempoh edah.
Hasil perkahwinan, Aslam dan Umisya dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Hud, Nuh serta seorang bayi perempuan yang dilahirkan pada 17 Februari lalu.