Sekilas
- Bella Astillah dan Syed Saddiq bakal disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober 2026 di Precinct Merdeka 118, Kuala Lumpur dengan konsep akad nikah serba putih dan elemen Arab.
- Majlis resepsi akan diadakan di Kuala Lumpur pada 18 Oktober, diikuti dengan majlis di Muar, Johor dan Sabah pada akhir Oktober dengan lokasi tepat akan diumumkan kemudian.
- Kisah pasangan ini boleh disaksikan menerusi program Walimatulurus mulai 6 Oktober di Astro Ria, manakala majlis akad nikah akan disiarkan secara langsung di beberapa saluran Astro dan platform digital pada 10 Oktober.
Debaran kian terasa buat penyanyi, Bella Astillah apabila tinggal beberapa hari lagi sebelum dia disatukan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq sebagai suami isteri.
Menerusi perkongsian di Threads, Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata dia kini menghitung hari sebelum memulakan fasa baharu dalam hidupnya.
“Menghitung hari hingga saya melangkah ke babak baru saya yang cantik, insyaallah. 10/10, 18/10,”tulisnya ringkas.
Sebelum ini, Bella dan Syed Saddiq mengumumkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober depan di acara MeleTOP.
Pasangan itu dijadualkan melangsungkan akad nikah di Precinct Merdeka 118, Kuala Lumpur, menjadi pasangan pertama yang diijabkabulkan di lokasi berkenaan menerusi kolaborasi Astro dan Precinct Merdeka 118.
Bagi majlis akad nikah, Bella dan Syed Saddiq memilih konsep serba putih dengan elemen Arab yang turut mendapat persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak.
Selain majlis resepsi di Kuala Lumpur (18 Oktober), pasangan tersebut turut merancang beberapa majlis persandingan dan keraian di Muar, Johor (24 Oktober), dan Sabah (31 Oktober) dengan lokasi tepat akan diumumkan kemudian.
Kisah pasangan romantis ini boleh disaksikan menerusi Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq bermula 6 Oktober 2026, setiap Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (Saluran 104).
Program berkenaan turut boleh distrim secara On Demand menerusi Astro GO dan Sooka.
Anda juga boleh menyaksikan majlis akad nikah Bella dan Syed Saddiq disiarkan secara langsung pada 10 Oktober 2026, Sabtu, jam 9 pagi.
Siaran langsung itu boleh ditonton menerusi Astro Ria (Saluran 104), Astro Prima (Saluran 105), Astro Awani (Saluran 501), Sooka dan Astro GO, selain platform media sosial Astro Malaysia serta Astro Gempak.